Jadilah Pencarum Yang Bijak – Cuepacs Kedah

Hosting Pesisir Pantai Termurah - 
www.rekanetwork.com

ALOR SETAR – Kakitangan kerajaan yang memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinasihat perlu menjadi pencarum yang bijak agar wang mereka yang terkumpul dalam KWSP itu dapat dimanfaat dengan sebaik-baiknya.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Cawangan Kedah Mohd Fadzil Md Isa berkata ini kerana ada kalangan mereka akhirnya menyesal kerana wang yang dikeluarkan tidak digunakan secara berfaedah.

“Jangan gelap mata apabila mengeluarkan wang caruman yang layak, dengan berbelanja tanpa berhemah seperti pergi melancong dan membeli kereta idaman.

“Memang benar ini wang mereka dan sebab itu gunalah dengan sebaik mungkin seperti perkara membabitkan soal kesihatan dan pembelajaran anak-anak kerana ini yang lebih utama,” katanya kepada Bernama.

Menurut KWSP, pada Mei lepas hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum aktif KWSP berumur 54 tahun mempunyai jumlah simpanan asas sebanyak RM196,800 atau lebih, dengan penggunaan sekurang-kurangnya RM820 sebulan untuk menampungkehidupan dalam tempoh persaraan.

Mengulas isu itu, Mohd Fadzil berkata bagi kakitangan yang dikategori golongan muda dan boleh mengeluarkan simpanan selepas disahkan dalam jawatan kerana memilih skim pencen, dinasihatkan agar berfikir panjang sebelum bertindak mengeluarkan sepenuhnya simpanan tersebut.

“Adalah lebih baik gunakan wang itu untuk membayar wang muka untuk membeli rumah atau menyertai skim insurans dan melabur dalam koperasi atau unit amanah.

“Ini untuk masa depan kerana membeli rumah, tanah atau menyertai skim insurans akan memberi nilai tambah kepada semua itu,” katanya.

Beliau berkata jika tidak biarlah caruman itu terus disimpan dalam akaun KWSP itu yang akan bertambah setiap tahun melalui dividen dan bonus.

Katanya adalah tidak rugi bagi mereka untuk terus menyimpan dalam KWSP jika tidak mempunyai tujuan lain semata-mata untuk keseronokan.

Mohd Fadzil berkata bagi kakitangan kerajaan yang memilih skim KWSP dan bukannya skim pencen, beliau menasihatkan juga supaya melakukan tindakan bijak demi diri sendiri dan keluarga.

“Mungkin wang itu boleh digunakan bagi tujuan perubatan ketika umur sudah lanjut dan juga memilih demi masa depan pelajaran anak-anak yang mungkin berada di universiti ketika itu,” katanya.

Beliau juga berkata buatlah pemilihan bijak untuk mengagih-agihkan wang berkenaan demi kesihatan dan generasi mereka.

Sementara itu seorang kakitangan kerajaan, Siti Yuhaida Ahmad, 42, berkata mujur wang KWSPnya, dapat membantu membiayai kos perubatan anaknya yang mempunyai masalah jantung.

Katanya melalui akaun dua, kos perubatan yang dianggarkan kira-kira RM10,000 telah ‘menyelamatkan’ anak sulungnya yang ketika itu berusia lebih dua tahun.

“Kalau tidak ada KWSP saya tidak tahu bagaimana nasib anak saya. Saya bergaji kecil dan wang simpanan yang lain tidak mencukupi,” katanya.

Seorang lagi kakitangan kerajaan yang memilih skim KWSP, Azhar Mat, 45, berkata walaupun beliau masih belum membuat keputusan untuk menggunakan simpanannya selepas pencen namun bertekad untuk menggunakannya dengan sebaik mungkin.

“Mungkin saya akan gunakan untuk masa depan pelajaran anak-anak atau yang lebih mustahak,” katanya.

Beliau berkata tiada siapa yang tahu nasib seseorang pada masa depan, sama ada sihat atau sebaliknya dan ketika itulah pentingnya simpanan wang berkenaan yang disimpan sejak sekian lama.

“Yang penting, perlu meletakkan penama jika berlaku sesuatu terhadap saya dan ia sebagai jaminan masa depan terhadap keluarga,” katanya. – BERNAMA

Hosting Pesisir Pantai Termurah - 
www.rekanetwork.com
Source link

Comments

comments

One comment

Leave a Reply