December 12, 2017
You can use WP menu builder to build menus


DARI SUDUT LAIN

Pendidikan percuma menjadi idaman setiap warganegara terutamanya kalangan ibubapa dan anak muda. Oleh kerana itu, parti-parti politik sering mencanangkan janji untuk memberikan pendidikan percuma sekiranya mereka diberi peluang memerintah. Janji-janji tersebut sangat diminati oleh rakyat kerana kos pendidikan di Malaysia terutamanya di peringkat pengajian tinggi adalah sangat tinggi. Pinjaman PTPTN yang ditawarkan kerajaan untuk menampung kos pembelajaran di IPTA dan IPTS pula hanya membantu untuk tempoh masa belajar sahaja. Selepas itu, graduan terpaksa bergelut antara memulakan hidup berdikari dan menyelesaikan hutang PTPTN.

PTPTN diperkenalkan pada tahun 1997 selaras dengan Dasar Liberalisasi Pendidikan yang diperkenalkan sebelum itu di zaman Dr Mahathir. Antara kesan daripada dasar ini, pembiayaan pembelajaran secara biasiswa dan dermasiswa telah diminimumkan, dan digantikan dengan skim PTPTN. Sejak daripada itu juga, universiti-universiti swasta telah tumbuh bagai cendawan selepas hujan dengan mengenakan yuran pengajian yang tersangat tinggi. Menjadikan pendidikan sebagai sektor mengaut keuntungan yang lumayan kerana ditanggung pembayarannya oleh PTPTN. Mahasiswa tidak begitu terkesan dengan harga yuran pada mulanya kerana mereka boleh meminjam dengan PTPTN.

Walaubagaimanapun, selepas beberapa tahun PTPTN dilaksanakan, mula timbul masalah apabila graduan sukar memulangkan pinjaman atas faktor kesukaran memperolehi pekerjaan dan juga paras pendapatan yang rendah, juga faktor kos sara hidup yang semakin meningkat. Kerajaan pula telah mengambil tindakan tegas kepada peminjam yang tidak membayar pinjaman PTPTN seperti menyekat perjalanan peminjam ke luar negara dan disenarai hitamkan di bawah CCRIS.

Oleh kerana pendidikan tinggi menjadi keperluan asasi masyarakat moden hari ini, ramai yang gelisah dengan perkara tersebut. Maka muncullah idea-idea untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar. Perkara ini disokong dengan hujah-hujah bahawa banyak negara maju lain memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya seperti UK, US, Finland dan lain-lain. Namun begitu tidak banyak yang membincangkan mekanisme yang digunakan negara-negara yang telah melaksanakan pendidikan percuma ini.

Jika dikaji sistem yang digunakan oleh negara-negara luar dalam membiayai pendidikan, antara cara yang mereka gunakan adalah mengoptimumkan hasil daripada endowmen. Di dalam Islam ia dinamakan sebagai waqaf.

Ahli akademik barat, Hansmann memberi definisi endowment sebagai “financial reserves of universities” yang mana terma ini merujuk kepada dana kewangan yang bergantung sepenuhnya kepada sumbangan derma, dan institusi yang menerima dana ini akan berpegang kepada prinsip menggunakan pendapatan kewangan sedia ada bagi tujuan perbelanjaan operasi dan aktiviti institusi tersebut. Pembahagian dana ini tidak tertakluk kepada peraturan dan syarat penderma. Universiti boleh menggunakan pengaruh dan autonominya untuk menentukan praktis perbelanjaan dari dana ini, sama ada untuk tujuan menambahkan lagi dana atau membelanjakan dana tersebut. Dalam erti kata lain, universiti berhak menentukan hala tuju dana sumbangan ini.

Sebagaimana yang dinyatakan, endowment dan waqaf merupakan mekanisme utama universiti-universiti terkemuka dunia seperti Harvard, Yale, Oxford, Princeton  dan Cambridge, malah ia lebih awal di amalkan di dunia Islam seperti di al-Azhar. Di dunia Barat, dikatakan Harvard University merupakan universiti pertama yang memperkenalkan sistem pengurusan endowment ini di US. Pada tahun 1974, Harvard University telah menubuhkan syarikat Harvard Management Company (HMC) yang menguruskan endowment bagi universiti Harvard. Syarikat tersebut menjalankan berbagai akitiviti ekonomi seperti pelaburan dan perniagaan.

Endowment yang dijalankan oleh Harvard mendapat sokongan daripada PBB. Mereka membantu Harvard dari segi pelaburan dengan mengikat HMC dengan jaringan pelabur antarabangsa yang komited terhadap Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI).

Dana endowment dikumpul melalui derma daripada alumni-alumni universiti. Semua sedia maklum bahawa universiti-universiti terkemuka dunia amat menjaga hubungan mereka dengan graduan mereka. Walaupun mereka telah meninggalkan alam pengajian berpuluh tahun lamanya, mereka sentiasa menghubungi graduan dan menjemput ke sebarang program.

Kerajaan turut terlibat dalam membantu universiti mengumpul dana endowment. Contohnya kaedah perlepasan cukai digunakan oleh US dan UK telah menggalakkan entiti seperti ahli alumni, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan menggunakan peluang untuk menyalurkan derma kepada universiti. Tambahan lagi, universiti turut digalak untuk menggunakan saluran alumni untuk membina jaringan pelaburan luar atau antarabangsa bagi menambahkan potensi pelaburan dan keuntungan endowment ini.

HMC telah menghasilkan pulangan keuntungan kepada Universiti Harvard. Keuntungan tahunan yang diberikan kepada dana terkumpul endowment 20 tahun yang lalu bernilai 12.3% setiap tahun dan nilai endowment pada June 30, 2014 bernilai USD36.4 bilion. Pada tahun fiskal 2014, agihan endowment telah menyumbang kepada hampir suku operasi kewangan universiti. Pada tahun 2015, dana endowment HMC telah mencecah USD37.6 bilion menjadikan ianya sebagai pengumpul dana endowment terbesar di dunia.

http://www.ukm.my/geografia/images/upload/11xx.geografia-april15-kartini%20et%20al-edam2.pdf

Sebenarnya Malaysia telah memiliki dasar berkaitan endowment dan waqaf pendidikan tinggi tersendiri. Pada tahun lepas, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah mengeluarkan Buku Ungu (Purple) Program Transformasi Pendidikan khusus menerangkan tentang sistem endowment dan waqaf. Namun tidak diketahui mengapakah model yang diperkenalkan di dalam buku itu tidak diimplementasikan dengan agresif.

Melalui sistem endowment, tidak mustahil Malaysia boleh memberikan kemudahan pendidikan percuma kepada rakyat. Ini kerana kebanyakan kos pembinaan infraskruktur tidak lagi memerlukan belanja yang besar kerana semuanya telah pun siap. Yang diperlukan hanya kos penyelenggaraan dan pengurusan univerisiti sahaja yang bersifat berkala.

Untuk tidak menjadikan perubahan ke arah pendidikan percuma berlaku terlalu drastik, ia boleh dilaksanakan secara berperingkat. Daripada mengurangkan yuran sebahagiannya sehinggalah percuma. Juga boleh dikelaskan mengikut pelajar. Contohnya pelajar anak negeri ditanggung sepenuhnya. Pelajar luar negeri pula ditanggung separuh manakalah pelajar asing membayar penuh.

Pendidikan adalah hak asasi setiap manusia. Ia juga merupakan tanggungjawab semua kerajaan. Pendidikan adalah penentu kepada masa depan negara moden yang bergantung kepada intelektualiti. Oleh itu ia tidak boleh dijadikan lapangan untuk mengaut keuntungan material. Hal ehwal pendidikan harus menjadi fokus utama dalam bajet Malaysia yang bakal diperbahaskan di dalam sesi parlimen kali ini.

https://www.mohe.gov.my/muat-turun/awam/penerbitan/university-transformation-programme/187-the-unitp-purple-book/file

 



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: