December 14, 2017
You can use WP menu builder to build menus


shahbudindotcom

Apa yang menarik dalam bajet kali ini?

Itu adalah pertanyaan yang paling banyak terdengar di mana-mana sejak petang semalam lagi. Bersapaan di mana saja atau dengan sesiapa, soalan sedemikian hampir tidak terkecuali terpacul daripada mulut kebanyakan orang.

Ramai yang mengharapkan bajet yang dibentangkan Najib kali ini terdampar harapan dan bunga-bunga indah, bukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya, lantaran sembang kencang Najib Razak sebelum ini kononnya ekonomi negara berkembang baik, pertumbuhan dalam negara positif dan sehingga mampu membuat tawaran untuk memakmurkan ekonomi Amerika Syarikat.

Lebih daripada itu, oleh kerana bajet alternatif oleh Pakatan Harapan sudah pun dibentangkan lebih dahulu, sekurang-kurangnya Najib mestilah ada iltizam untuk menawarkan sesuatu yang labih baik lagi.

Malangnya, yang mampu dilakukan Najib hanyalah beberapa ciplakan terhadap bajet alternatif Pakatan Harapan, manakala selebihnya langsung tidak ada yang menarik.

Najib hanya mampu mempersembahkan perkara-perkara remeh seperti kebenaran pulang awal bagi suami yang isterinya mengandung. Kebenaran pengambilan terus pembantu rumah dan tidak lagi melalui agen hanya mendedahkan majikan kepada penipuan dan lebih banyak masalah akan timbul.

Beliau seharusnya menekankan bayaran agen yang munasabah atau memperbanyakkan lagi, atau mandatori berhubung  pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, baik sektor kerajaan mahu pun swasta.

Sementara bajet Pakatan Harapan mahu menghapuskan tol dan GST, Najib sebaliknya cuma memansuhkan lima tol saja, itu pun dua di Selangor yang terlibat itu memang konsesinya akan berakhir pada 2018 serta beberapa item barangan yang dikecualikan cukai tersebut.

Dengan demikian, jika pemansuhan dua tol di Selangor diharapkan mampu meniupkan angin perubahan agar rakyat memilih UMNO dan BN, ia sudah jadi tidak bermakna apa-apa lagi.
Pemansuhan tol di Johor dan Kedah pula dengan jelas membuktikan Najib bimbang kedua-dua negeri itu akan beralih tangan.

Begitu juga, pemberian saham RM200 kepada anak yang baru lahir, pendekatan tersebut sudah pun lama di lakukan di Selangor oleh Pakatan Harapan.

Makna kata, dengan menciplak beberapa perkara dalam bajet alternatif Pakatan Harapan dan kesediaan Najib menghapuskan tol di Kedah dan Johor, kehadiran pakatan pembangkang itu bukan saja digeruni, malah nyata memberi kebaikan kepada rakyat.

Belum pun menjadi kerajaan, Pakatan Harapan sudah mampu melimpahkan rahmat dan kebaikan kepada rakyat, bayangkan jika mereka menjadi kerajaan nanti?

Yang amat mengecewakan dalam bajet kali ini ialah daripada  keseluruhan peruntukan RM280.25 bilion yang disediakan, meningkat lebih RM20 bilion berbanding tahun lalu, perbelanjaan pengurusan mewakili sebanyak RM234.25 atau 84 peratus, manakala belanja pembangunan hanyalah 16 peratus atau RM40 bilion saja.

Di mana impaknya kepada pertumbuhan ekonomi yang sihat dan lestari jika peruntukan untuk pembangunan tersangat kecil berbanding belanja pengurusan?

Dalam hal ini, Najib dengan amalan “cash is king” yang  dimaklumi memang membudaya dalam dirinya, tidak saja mengamalkan perbelanjaan tidak sihat, tetapi juga terlihat terlalu ghairah untuk memberi banyak sumbangan tunai atau one-off kepada pelbagai kelompok masyarakat bagi tujuan memenangi pilihanraya.

Selain bayaran BR1M sebanyak RM1200 dan bantuan khas kewangan RM1500 kepada kakitangan awam serta RM750 untuk pesara, bajet ini juga memperuntukan beberapa pemberian tunai lain seperti RM1500 kepada Ketua Kampung, Tok Batin, Imam, Bilal, Siak, Guru Kafa dan Takmir,  bantuan RM600 kepada pesawah dan elaun khas RM350 kepada warga emas.

Semua bayaran itu akan mula diterima dalam dua peringkat iaitu pada Januari 2018 dan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri akan datang. 
Ini dengan jelas memberi gambaran bahawa semua wang tunai yang dicurahkan itu ialah untuk tujuan menambat hati rakyat menjelang PRU 14 yang sudah tentu bakal diadakan selepas Januari 2018 iaitu di ketika sebahagian besar pemberian wang tunai tersebut sudah diagih-agihkan dan diterima rakyat.

Tidak mungkin pilihanraya akan diadakan hujung tahun ini kerana Najib sudah tentu mahu gula-gula tunai yang dijanjikannya betul-betul sampai ke tangan pengundi sebelum mereka memangkah di kertas undi. 

Maknanya, pemberian tunai itulah yang menyebabkan belanja pembangunan terpaksa diciputkan kepada kira-kira RM40 bilion, manakala belanja mengurus meningkat kepada RM234.25 bilion.

Najib nyata terdesak untuk memenangi pilihanraya akan datang sehingga semua wang tunai kerajaan digunakan untuk kepentingan politik UMNO dan BN serta mengabaikan aspek pembangunan lain yang lebih mampu memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Hakikat bahawa bajet kali ini adalah untuk memenangi pilihanraya bukan saja terbentang di depan mata, tetapi diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, bajet kali ini memang merupakan bajet persediaan untuk menghadapi pilihanraya.

Betullah tu, nak kata apa lagi, kata beliau.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: