December 12, 2017
You can use WP menu builder to build menus



BENTONG: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji kesesuaian mewujudkan dasar tamat hayat kenderaan yang akan menetapkan had usia kenderaan, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata ketetapan itu diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan disebabkan faktor usia kenderaan, seperti kemalangan dua bas kilang berhampiran Plaza Tol Juru, Pulau Pinang pada 24 Okt lalu yang menyebabkan lapan maut.

Katanya, siasatan awal mendapati sebuah bas yang berhenti di tepi jalan akibat kerosakan dalam kemalangan itu telah berusia 32 tahun manakala sebuah lagi bas berusia melebihi 10 tahun.

“Walaupun siasatan awal mendapati kedua-dua bas itu lulus pemeriksaan Puspakom pada September lalu, namun kita tidak tahu jika kenderaan itu rosak selepas menjalani ujian, terutamanya bas yang usianya sudah terlalu lama.

“Sebab itu, kita melihat isu berkaitan usia kenderaan merupakan perkara besar dalam aspek keselamatan jalan raya dan perkara ini telah dipraktikkan di negara lain seperti Jepun dan Singapura atas sebab keselamatan,” katanya.

Liow berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Bomba Sukarela Zon Timur di Janda Baik di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah negeri Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Beliau menambah dasar baharu itu juga, jika dilaksanakan akan melibatkan kerjasama daripada Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli untuk melupuskan kenderaan yang telah ditamatkan hayatnya mengikut cara yang sepatutnya dan mesra alam sekitar.

“Ketiadaan dasar ini menyebabkan kereta lama yang sudah berusia 30, 40 tahun tersadai begitu sahaja atau dipotong. Sebab itu kita mahu adakan kajian kesesuaian dasar ini yang diharapkan dapat selesai dalam tempoh masa sesuai,” katanya.

Liow juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan mendengar pandangan rakyat dan semua pihak berkepentingan dalam isu tersebut supaya pelaksanaannya tidak membebankan mana-mana pihak kerana matlamatnya ialah menjamin keselamatan.

“Kita tidak mahu memaksa atau buat rakyat berasa dipaksa…sebab itu kita akan libatkan mereka dalam kajian ini. Antara cadangan yang difikirkan ialah supaya dasar ini dilaksanakan secara sukarela.

“Orang ramai boleh datang untuk menamatkan jangka hayat kenderaan mereka yang sudah uzur dan melebihi tempoh yang ditetapkan, yang mungkin sudah lebih membebankan jika kenderaan itu sering perlu dibaiki.

“Kita boleh memikirkan untuk memberi sedikit insentif kepada mereka untuk memberi kenderaan baharu jika mereka bersetuju untuk menamatkan hayat kenderaan itu kerana memikirkan keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Liow menambah keutamaan dasar itu akan diberikan kepada kenderaan berat dan yang melibatkan ramai orang seperti bas atau lori dan berharap dasar itu mendapat sambutan baik, jika dilaksanakan secara sukarela.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: