December 12, 2017
You can use WP menu builder to build menus



ALOR SETAR: Seorang lelaki yang berpangkat bapa saudara yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga dan melindungi anak saudaranya yang juga yatim piatu tergamak melakukan serangan seksual fizikal dan merogol anak saudara kandungnya sendiri.

Tertuduh yang juga seorang buruh hari ini menerima padah atas perbuatan terkutuknya itu apabila dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini atas tuduhan melakukan amang (serangan) seksual fizikal dan sumbang mahram terhadap anak saudaranya berusia 17 tahun lima bulan.

Hakim Azman Abu Hassan membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh yang berusia 30 tahun dan mensabitkannya dengan kedua-dua pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun lima bulan di sebuah rumah di Kampung Kelubi, Mukim Air Hangat, dekat Langkawi pada 13 Oktober lalu, kira-kira jam 2 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dan sebat dibaca serentak Seksyen 16 (2) (a) akta sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 (2) (a) membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan sumbang mahram terhadap mangsa pada 7 Oktober lalu di tempat sama, jam 11.15 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela diperintah menjalani hukuman secara berasingan bagi kedua-dua pertuduhan.

Mengikut fakta kes, mangsa dalam kes ini dipelihara oleh datuknya selepas kematian ibu bapa.

Pada 7 Oktober lalu, jam 11 malam ketika berada di bilik di rumah datuknya, pengadu didatangi bapa saudaranya bertindak menindihnya serta mencium lehernya sebelum memperkosanya.

Selepas itu, tertuduh mengarahkan pengadu tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa.

Bagaimanapun pada 13 Oktober lalu, kira-kira jam 2 pagi, tertuduh sekali lagi masuk ke bilik pengadu lalu menindih serta melakukan serangan seksual.

Datuknya yang menyedari perubahan sikap pengadu yang menjadi murung sebelum mangsa menceritakan apa berlaku telah membawa mangsa ke Balai Polis Air Hangat, Langkawi untuk membuat laporan.

Siasatan mendapati kedua-dua kejadian berlaku ketika datuk pengadu tiada di rumah dan susulan itu polis menahan tertuduh pada 16 Oktober lalu, kira-kira jam 4.30 malam.

Mangsa turut dirujuk ke Hospital Langkawi pada 10 Oktober lalu bagi pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur, memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan pada masa depan.

Pendakwaan juga memohon mahkamah mengambil kira kesan emosi dialami mangsa yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: