December 11, 2017
You can use WP menu builder to build menus


(Malaysiakini) – Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown menamakan bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga sebagai sebahagian daripada pembelaannya dalam saman oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Rewcastle-Brown mendakwa, beliau telah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 berhubung perkara berkaitan 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan PAS.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Ambiga didakwa memberitahu Rewcastle-Brown tentang hubungan Najib dengan PAS, termasuk dakwaan persetujuan kewangan antara kedua-dua pihak dan motif di sebaliknya.

“Ambiga memberitahu defendan yang sumbernya, yang menurutnya boleh dipercayai, menjangkakan jumlah yang telah dibayar adalah sekitar RM90 juta,” kata Rewcastle-Brown, menurut dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ambiga berkata beliau tidak boleh mengulas perkara itu.

Rewcastle-Brown berkata yang beliau menerbitkan sebahagian perbualannya dengan Ambiga atas niat baik, sebagai komentar politik tentang perkara yang melibatkan kepentingan awam.

Editor yang berpangkalan di London itu berkata, beliau mempunyai hak kebebasan bersuara dan mendakwa hak rakyat Malaysia untuk berbuat demikian kini sedang ditekan.

Katanya lagi, kenyataannya yang menjadi pertikaian dalam kes itu tidak ditujukan kepada Hadi atau mana-mana individu secara peribadi.

“Defendan tidak berniat mahupun dapat menjangka sama sekali yang kata-kata tersebut tidak akan difahami sebagai kenyataan yang merujuk pihak menuntut, atau menyampaikan tohmahan terhadap pihak menuntut seperti yang dirasakan pihak menuntut,” katanya.

Rewcastle-Brown juga memberitahu mahkamah yang Najib didakwa memindahkan wang berjumlah melebihi RM200 juta kepada bekas timbalan presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa sejak 2014, dan wang itu dikatakan digunakan untuk mendanai sebuah kumpulan dalam PAS.

Beliau mendakwa Nasharudin dan beberapa pemimpin tinggi PAS lain telah menunjukkan kemewahan, seperti membeli kereta baru, hartanah dan menambah isteri.

Beliau turut memberikan senarai panjang yang menyatakan kereta mewah yang dikatakan telah dibeli pemimpin terbabit.

Pada April lalu, Nasharudin menafikan ada menerima wang daripada Najib dan mengancam untuk memfailkan saman terhadap naib presiden PKR Rafizi Ramli kerana membuat dakwaan sedemikian.

Rewcastle-Brown sebelum ini dituduh terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan menerima dana daripada bekas perdana menteri itu.

Beliau menafikan kedua-dua dakwaan itu.

 

 



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: