December 11, 2017
You can use WP menu builder to build menus


SHAH ALAM: PAS Pokok Sena memberitahu beberapa nama sudah dihantar kepada PAS Kedah untuk menggantikan penyandang kerusi Parlimen kawasan itu, Datuk Mahfuz Omar.

Yang Di-Pertua (YDP) PAS Pokok Sena Wan Romani Wan Salim kemudiannya memberi jaminan kesemua calon pilihan raya yang dikemukakan adalah mereka yang senang didamping dan diterima rakyat.

“(Calon) Dah ada, kita dah serah kepada perhubungan (PAS Kedah) yang kemudian serah kepada (PAS) pusat.

“Insya-Allah, sebab kita menang pun bukan atas tiket peribadi…menang atas parti,” katanya kepada Antarapos.

Bagaimanapun ADUN Bukit Pinang itu enggan mendedahkan jumlah nama yang dihantar kepada PAS negeri.

“Insya-Allah kita masih mampu mempertahankan kemenangan di kawasan Parlimen Pokok Sena,” katanya.

Kerusi Parlimen Pokok Sena kini disandang Mahfuz, yang sebelum ini secara terang-terangan menyatakan kesediannya menyokong kepimpinan Pakatan Harapan (PH), meskipun masih bersama PAS.

Mahfuz juga mengajak ahli PAS yang lain agar mencontohinya, memberi undi kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), biarpun tidak keluar parti.

Susulan itu, PAS mengumumkan Mahfuz tidak akan dicalonkan bagi mewakili PAS pada PRU14, selepas mewakili parti itu selama dua penggal.

Pada PRU13 (2013) beliau berjaya mempertahankan kerusi kerusi Parlimen Pokok Sena dengan 34,657 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahlan Ismail yang memperoleh 30,485 undi.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan PAS negeri menerima beberapa nama calon daripada PAS Pokok Sena untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Ramai (calon dikemukakan)… Keputusan akhir PAS Pusat akan tentukan.

“Tunggu masa PAS akan umum calonnya di Pokok sena,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bertegas, hanya parti yang terdesak akan menerima Mahfuz untuk meneruskan perjuangan politiknya.

“Saya tak mau layan dah Mahfuz…buang masa saja

“Dia dah tidak relevan bila tinggalkan PAS.

“Mungkin parti-parti terdesak macam Amanah atau PPBM boleh terima dia. Elok dia pergi sana,” katanya – AP



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: