December 12, 2017
You can use WP menu builder to build menus



KUANTAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memperkasakan sistem bahagian di semua peringkat bagi mengelakkan kejadian yang boleh menjejaskan imej pasukan seperti buli daripada berlaku.

Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata sistem itu membolehkan anggota TLDM yang mengetahui atau menghadapi situasi berkenaan membuat aduan kepada pegawai yang bertanggungjawab pada bahagian itu.

“Laporan itu akan disampaikan ke peringkat atasan dan apa yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan ada yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kejadian (buli) itu tidak sewajarnya berlaku dan bukan amalan TLDM.

“Saya harap selepas ini, pegawai dan anggota TLDM dapat berfikir panjang dalam tindakan mereka. Semua pihak kena patuhi SOP dan setiap ketua bahagian harus memainkan peranan memastikan semua anggota di bawahnya mematuhi SOP yang digariskan,” katanya.

Mohamad Roslan berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Panglima Markas Wilayah Laut Timur 1 antara Laksamana Muda Datuk Mohd Reza Mohd Sany kepada Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini, hari ini.

Pada September lalu, LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia selepas menjalani latihan fizikal di bilik tahanan Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan Perak dipercayai akibat didera.

Laporan bedah siasat ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Pada 17 Okt lalu, empat Laskar Kanan TLDM didakwa atas tuduhan membunuh dan mencederakan serta melakukan ugutan jenayah kepada dua mangsa itu yang didakwa berlaku antara 12 hingga 29 Sept.

BACA: Tiga anggota TLDM didakwa bunuh, cedera dua rakan sekerja 

Selain itu, Mohamad Roslan berkata program Rakam Maritim (RAKAM) antara TLDM dengan nelayan yang dimulakan 2016 berjaya mengurangkan kemasukan nelayan asing ke dalam perairan negara.

Program ini membolehkan nelayan berkongsi maklumat dengan TLDM pada bila-bila masa yang membolehkan kita melakukan tindakan segera. Selain daripada ancaman nelayan asing, RAKAM juga membantu dalam operasi mencari dan menyelamat di laut,” katanya.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: