December 11, 2017
You can use WP menu builder to build menus



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong diberi amaran tidak mempertikai hampir 1,079 anggota tentera yang bakal menduduki kem tentera baharu yang bakal siap hujung tahun ini di Segamat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, Chin Tong kini seolah-olah sengaja menimbulkan persepsi kem itu membantu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Berkenaan dengan soal kem askar di Segamat seperti dibangkitkan, saya minta Chin Tong berhenti berkhayal dengan tuduhan berkaitan pembinaan kem tersebut.

“Saya cukup tidak faham kaitan kem tentera dan pilihan raya. Dia cuba menimbulkan persepsi bahawa kewujudan kem itu akan membantu BN pada pilihan raya nanti.

“Adakah dia tidak tahu bahawa tugas tentera adalah untuk mempertahan negara dari ancaman musuh?” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Chin Tong semasa membahas Ucapan Parlimen mengenai Bajet 2018 (Bahagian II) meminta Kementerian Pertahanan memberi penjelasan sama ada pembinaan Kem Tentera Segamat di negeri Johor dibuat atas pertimbangan strategi pertahanan negara atau semata-mata untuk mempertahankan kepentingan politik dan pilihanraya bagi parti kerajaan.

Empat kem tentera baharu bakal dibina dan siap pada hujung tahun ini.

Selain Segamat, ia juga akan dibina di Hutan Melintang, Perak, Bera di Pahang dan Pagoh di Johor.

Pembinaan kem tentera baharu ini juga sebagai salah satu langkah kerajaan bagi menambah kedudukan strategik aset pertahanan.

Ia juga berkait rapat dengan faktor kedudukan kem di lokasi-lokasi sedia ada didapati tidak lagi sesuai kerana berada di tengah-tengah kawasan pembangunan selain melibatkan kos penyelenggaraan tinggi.

Dalam pada itu Bastien meminta Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP itu untuk berhenti memperlekehkan perajurit-perajurit negara selain tidak melibatkan mereka dalam politik dan tuduhan seumpama itu.

“Kalau hendak menang di Segamat dia perlu kerja kuat, kami tunggu. Ini belum lawan sudah mencari alasan kalah.

“Dia akan terus dalam dunianya daan bila tewas nanti akan menggunakan alasan kewujudan kem tentera berkenaan.

“Kalau kamu tidak suka perwira negara tidak apa tetapi jangan babitkan mereka dalam permainan politik terdesak begini.

“Kami di Segamat menyambut baik dan amat gembira dengan pembinaan kem tentera ini. Sesungguhnya kami akan berasa selamat dengan kehadiran perajurit ini di sini,” ujarnya.

Bastien turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di atas pembinaan kem berkenaan.

Dalam pada itu, Bastien juga mahu tahu perasaan Chin Tong terhadap kewujudan kem tentera di Kluang.

“Di kawasan dia juga ada kem tentera, apakah perasaan Chin Tong? Tentera ini merupakan perajurit yang melindungi kamu, adakah kewujudan mereka tidak diundang d Kluang?

“Bagaimana pula mereka yang di Pagoh? Jangan lupa perajurit-perajurit sekalian, kita ada wakil pembangkang yang tidak selesa dengan kehadiran kamu rasanya,” tegasnya.

Bastien juga mahu Chin Tong berhenti memberi alasan awal dan menyebar persepsi kekalahan wakil mereka di Segamat kepada Datuk Seri Dr. S. Subramaniam kerana kehadiran tentera ini.

“Adakah nasib pembangkang sudah tertilik? Chin Tong sendiri harus sedar pengundi-pengundinya di Kluang amat merindukan kehadiran dan khidmatnya selaku wakil rakyat.

“Apabila saya berbual dengan belia-belia dari kawasannya, mereka kerap bertanya tentang kehadirannya yang langsung tiada bayang,” jelasnya.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: