December 14, 2017
You can use WP menu builder to build menus



KUALA TERENGGANU: Seorang doktor perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu ditemukan mati di bilik sewanya di Kampung Nyiur Sepohon, Kuala Terengganu malam semalam.

Mayat Dr Mohd Muaz Mohd Sabri, 29, dijumpai pada pukul 10.40 malam dalam keadaan terbaring di atas katil setelah pintu bilik sewanya berjaya dibuka oleh anak pemilik bilik sewa berkenaan yang hairan arwah tidak keluar rumah sejak beberapa hari.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohammad Omar berkata arwah yang mula berkhidmat di HSNZ sejak Disember 2013 dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lepas.

Katanya arwah dan tunangnya yang juga doktor di hospital sama sebelum ini terkena keracunan makanan selepas makanan yang dibeli di pasar malam Kuala Ibai, di sini tercemar.

Dr Mohammad Omar berkata tunang Allahyarham ditahan di wad beberapa hari untuk rawatan lanjut, bagaimanapun arwah enggan ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebaliknya ingin berehat dan tidak kelihatan keluar dari bilik sewanya sejak dari hari itu.

Beliau berkata bedah siasat sudah dijalankan dan dimaklumkan tiada sebarang unsur jenayah, bagaimanapun punca kematian akan mengambil sedikit masa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Suffian Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan telah menerima laporan daripada pihak hospital.

“Kematian mengejut ini kita akan rujuk kepada hasil bedah siasat, jika tiada elemen-elemen jenayah seperti yang telah dimaklumkan…kita andaikan ianya sebagai kematian biasa,” katanya.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: