December 12, 2017
You can use WP menu builder to build menus



KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif dan mengawal status tanah pertanian yang dilihat ditukar ke tanah pembangunan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pengurangan tanah pertanian telah memberi kesan langsung serta merencatkan usaha menjadikan pendapatan petani kepada RM4,000 sebulan.

Malah menurutnya, pertukaran status itu juga menjejaskan dan mengancam kelangsungan keselamatan makanan (food security) di negara ini.

“Berkenaan isu status tanah ini, ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan Kerajaan Pusat.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak ada kuasa untuk menahan atau mengawal pertukaran status daripada pertanian kepada pembangunan.

“Kita harap kerajaan negeri akan mengambil apa juga langkah yang perlu termasuk tindakan supaya kawasan pertanian ini tidak berkurangan selain berharap ia kekal sebagai kawasan pertanian kerana kita takut perkara ini akan menjejaskan pengeluaran makanan negara serta keselamatan kita terancam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana program Gelom6bang Tani Nasional (GTN) telah berjaya meningkatkan tahap sara diri petani serta apakah langkah transformasi kementerian dalam mempromosi sektor pertanian setempat sebagai agro pelancongan.

Tambah Tajuddin, ketika ini purata pendapatan petani masih rendah iaitu antara RM1,000 sehingga RM2,000 sebulan yang mana ia memang tidak mencukupi untuk menyediakan keperluan dan perbelanjaan harian.

“Mereka perlu tingkatkan pendapatan selaras dengan matlamat kerajaan pada 2020 supaya Malaysia akan jadi negara maju pendapatan tinggi iaitu RM45 ribu setahun, kira-kira RM4,000 sebulan. Kalau dilihat ia masih lagi jauh dari sasaran.

“Atas sebab itu, kita ingin melihat petani kita mengejar kemajuan pembangunan ekonomi supaya boleh perolehi macam mana yang disasarkan,” ujarnya.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: