January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUALA LUMPUR: Media sosial kini telah ‘dirampas’ untuk meraih sokongan terhadap ideologi radikal dan mencetuskan keganasan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

“Jika pada masa lalu kita boleh menguruskan krisis dengan memastikan hanya maklumat tepat dan boleh dipercayai disebarluaskan, hari ini rusuhan boleh berlaku dengan hanya satu catatan yang menghasut,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN mengenai Kebudayaan dan Maklumat (ASEAN COCI) ke-52, di sini hari ini.

Beliau berkata kemudahan akses serta kepantasan adalah suatu yang positif dari segi meningkatkan persefahaman dalam kalangan negara ASEAN namun ia tidak dapat membezakan kandungan bagus dan berfaedah dengan kandungan negatif, contohnya falsafah yang meniupkan lagi api keganasan.

Jailani berkata revolusi akses kepada maklumat ini telah mengecilkan dunia selain turut menyebarkan percambahan berita, perkongsian idea dan kandungan.

“Semuanya berlaku menerusi satu klik yang pantas. Bukan itu sahaja, sekarang setiap orang yang mempunyai peranti secara automatik menjadi penjana kandungan. Perkongsian maklumat tidak lagi terletak di tangan media arus perdana tetapi pada media baharu,” katanya.

Jailani berkata perkembangan teknologi telah mengubah persekitaran budaya dan maklumat.

“Saya percaya kita telah mengambil pendekatan yang tepat menerusi pelan Induk Komunikasi ASEAN yang menumpukan kepada penubuhan komuniti yang berkongsi peluang serta manfaat-manfaat lain.

“… dan baru-baru ini, kita beralih ke arah pendekatan yang lebih proaktif dan bertumpu apabila Pemimpin ASEAN menerima Deklarasi ASEAN mengenai ‘Budaya Pencegahan’ (CoP) pada Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin ASEAN di Filipina,” katanya.

Antara lain, ASEAN CoP akan menekankan kepada pemahaman punca dan akibat keganasan, mengubah penetapan minda daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan serta menyemai nilai-nilai yang dikongsi (keamanan, keharmonian, kefahaman antara budaya, hormat, kepercayaan, toleransi, keterangkuman, kesederhanaan, tanggungjawab sosial dan kepelbagaian), kata Jailani.

Mengenai mesyuarat ASEAN-COCI ke-52 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang bermula semalam sehingga esok itu, Jailani berharap ia akan menjadi platform untuk delegasi bertukar-tukar pendapat demi kebaikan bersama.

ASEAN-COCI yang ditubuhkan pada Oktober 1978 bertujuan menggalakkan kerjasama berkesan dalam bidang kebudayaan dan maklumat di samping meneruskan pembangunan serantau serta meningkatkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat ASEAN.

ASEAN-COCI merangkumi dua badan sektoral kecil iaitu jawatankuasa kecil mengenai kebudayaan (SCC) yang bertanggungjawab terhadap sektor kebudayaan dan jawatankuasa kecil mengenai maklumat (SCI) yang menangani aspek penerangan.

SCC dan SCI merupakan platform untuk anggota ASEAN merancang, melaksana dan memantau projek-projek yang diluluskan serta ditaja oleh ASEAN-COCI.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Jailani meminta masyarakat tidak terlalu ghairah berkongsi maklumat peribadi di laman sosial kerana dikhuatiri memudaratkan mereka pada kemudian hari.

Beliau berkata kementerian itu menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung hal tersebut.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: