January 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus


DARI SUDUT LAIN

Sejak GST diperkenalkan, yang selalu didengari hanyalah keluhan daripada rakyat. Walaupun sebelum ini ada menteri yang mengatakan GST mampu untuk menurunkan harga barang, namun hakikatnya hanya beberapa barangan bukan keperluan sahaja yang turun. Harga barang yang tidak dikenakan GST juga telah naik kesan daripada kenaikan harga barang penggenap yang lain.

GST merupakan cukai yang mengenakan kadar samarata kepada semua rakyat tanpa mengambil kira kedudukan dan status kewangan. Ia dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh hampir semua rakyat Malaysia. Secara teorinya ia dikatakan adil, sedangkan samarata dan adil adalah dua perkara berbeza.

Alasan kerajaan, GST adalah keperluan seluruh negara moden. Namun begitu, kerajaan melaksanakan GST hanya mengambil kira dari sudut pendapatan negara yang terjamin untuk terus mentadbir dalam apa jua situasi ekonomi. Malang sekali kerajaan tidak melihat kesan yang lebih buruk akan ditanggung oleh rakyat teramai.

Sebenarnya GST lebih memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan. Golongan berpendapatan tinggi tidak begitu terkesan, kerana mereka memiliki cukup wang untuk menampung tambahan harga barang. Kebanyakan mereka juga adalah pengusaha, pembekal dan peniaga yang mampu menaikkan harga barang untuk menampung kos GST, selain dijanjikan bayaran balik kepada mereka. Tetapi golongan berpendapatan rendah serta sederhana yang kebanyakannya tergolong di kalangan pengguna akhir, mereka terpaksa mencatu pendapatan mereka yang sememangnya cukup makan sebelum ini untuk terus hidup.

Perkara ini telah membawa kepada jurang antara kaya dan miskin semakin melebar. Golongan miskin semakin tidak mampu merubah nasib hidup mereka kerana kos untuk memulakan perusahaan semakin meningkat. Golongan muda semakin sukar menempatkan diri dalam dunia bisnes yang memerlukan modal tinggi untuk terus bertahan. Bahana GST, semakin banyak perusahaan IKS gulung tikar. Menurut Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), terdapat kalangan ahlinya yang turut gulung tikar selepas GST diperkenalkan.

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/19343/

Situasi ini memberikan kedudukan yang lebih selesa buat golongan berada untuk melebar-luaskan lagi kekayaan kerana saingan baru semakin berkurangan. Produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi hanya mampu diakses oleh sebilangan lapisan di negara ini. Tanpa disedari, telah terbentuk pengasingan taraf dan darjat lebih ketara antara kaya dan miskin. Golongan berpendapatan sederhana akan jatuh ke tahap berpendapatan rendah, dan akhirnya polarisasi berlaku.

Atas dasar inilah ramai pakar ekonomi tidak bersetuju dengan perlaksanaan GST. Al-Marhum Prof Dr Ismail Salleh, pakar ekonomi negara pernah menyatakan bahawa GST atau lebih dikenali di negara barat sebagai VAT adalah cukai yang akan memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah, seterusnya jurang antara kaya miskin akan semakin melebar. Perkara ini adalah antara dapatan beliau di dalam tesis PhD nya.

Pandangan ini disokong oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Fiskal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Vitor Gaspar. Menurut beliau, kesan perlaksanaan cukai di negara-negara maju berkonsepkan GST/VAT telah menyebabkan polarisasi di dalam masyarakat. Golongan yang banyak menanggung cukai adalah pihak berpendapatan sederhanana. Golongan kaya memiliki lebih banyak cara dan peluang untuk mengelak dari dikenakan cukai. Justeru jurang antara kedua golongan ini semakin melebar.

Perkara ini dikhuatiri akan menimbulkan ketidakstabilan politik di dalam negara tersebut apabila majoriti rakyat tertekan dengan sistem percukaian sedia ada. Sebagai alternatif, IMF turut mencadangkan agar dikaji sistem percukaian alternatif yang memfokuskan kepada golongan berpendapatan tinggi.

http://www.businessinsider.my/imf-makes-unusual-call-for-higher-taxation-on-rich-2017-10/?r=US&IR=T

Jika diteliti punca sebenar krisis kewangan negara Greece yang membawa kepada bankrupsi, adalah kerana kegagalan kerajaan memperoleh pendapatan yang cukup dari sumber cukai. Kadar kutipan cukai menurun disebabkan dasar dan amalan melepaskan golongan kaya dari dikenakan cukai, sehingga akibatnya mengganggu perbelanjaan kerajaan. Dasar dan amalan melepaskan golongan kaya ini dipercayai bermula ketika pihak tentera mengembalikan kuasa kepada rakyat selepas merampas kuasa antara 1967 hingga 1974. Dipercayai dasar dan amalan itu dilaksanakan sebagai salah satu syarat dari pihak perampas kuasa untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat. Berkaitan dengan perkara ini, banyak rencana antarabangsa yang mendedahkan bahawa golongan kaya di Greece melepaskan diri dari membayar cukai.

https://www.fraserinstitute.org/article/greek-government-helping-rich-not-ordinary-greeks

https://www.dianeosis.org/en/2016/06/tax-evasion-in-greece/

http://www.spiegel.de/international/europe/wealthy-greeks-still-dodging-taxes-despite-crisis-a-864703.html

Berbalik kepada cadangan IMF di atas, ada benarnya jika ia diambil kira untuk merawat krisis ekonomi negara. Kesilapan perancangan ekonomi hanya akan menyebabkan negara menerima nasib sama seperti Greece. IMF juga telah mencadangkan kepada New Zealand untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal (CGT) dalam melindungi ekonomi mereka. Cukai ini dikenakan terhadap aset semasa seperti penjualan saham, bon, barangan berharga dan juga hartanah.

http://www.nzherald.co.nz/business/news/article.cfm?c_id=3&objectid=11813569

Malaysia pernah memperkenalkan CGT ini ke atas hartanah, tetapi telah memansuhkannya pada April 2007. Walaubagaimanapun, cukai keuntungan hartanah (RGPT) pula diperkenalkan pada tahun 2010. Namun ia tidak menjadi sumber perolehan utama kerajaan dalam menjana pendapatan.

Secara tidak langsung, pandangan IMF ini lebih menepati konsep Islam yang mengenakan cukai hanya kepada golongan berada. Contoh yang paling mudah ialah zakat. Ia hanya dibayar apabila seseorang memiliki sejumlah amaun tertentu dalam tempoh tertentu.

Perkara ini turut dibincangkan di dalam Dokumen Hijau yang dikeluarkan PAS. Mereka mencadangkan dua jenis cukai sebagai alternatif untuk menampung kehilangan kira-kira RM 40 billion pendapatan kerajaan. Cukai yang dimaksudkan adalah Cukai Simpanan Korporat dan juga Cukai Pegangan Saham.

Menurut Dokumen Hijau dalam topik yang berkaitan cukai simpanan korporat, hari ini simpanan tetap syarikat dan korporat tidak dikenakan apa-apa cukai oleh pihak kerajaan. Dari satu sudut pandang yang lain, wang ini adalah milik golongan-golongan kaya yang bersifat lebihan. Manakala dari segi konsep pengaliran matawang (velocity of money), ia perlu dialirkan ke bawah khususnya kepada golongan miskin untuk meningkatkan kuasa beli mereka seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara dari segi meningkatkan kuasa permintaan. Malangnya pada hari ini, simpanan-simpanan tersebut lazimnya hanya dilaburkan di syarikat-syarikat yang dimiliki oleh golongan-golongan terkaya. Cara pengurusan kewangan seperti ini adalah bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.

PAS berkeyakinan, dengan dikenakan cukai ini, ia akan dapat menjana sumber pendapatan kerajaan sehingga RM 14 bilion. Formula yang dicadangkan, dikenakan sebanyak 2.5% setahun (kiraan tahunan, bukan bulanan) dengan mengambil kira jumlah minimum setahun yang dimiliki oleh pihak syarikat dan korporat sekalipun berada dalam akaun berbeza.

Jumlah simpanan tetap keseluruhan negara adalah sekitar RM1.6 Trillion (rujukan: Website Bank Negara, dan The Star bertarikh 31 Oktober 2015). Secara konservatifnya, jumlah simpanan korporat dan syarikat adalah dianggarkan sekitar RM 566 Bilion dan dengan potongan cukai pada kadar 2.5%, kerajaan berpotensi memperolehi pendapatan sebanyak RM 14 Bilion setahun.

Berkaitan dengan cadangan cukai pegangan saham pula, menurut Dokumen Hijau PAS, saham yang diperdagangkan di Bursa Saham Malaysia dianggarkan (secara konservatif) sebanyak RM350 bilion setiap tahun sementara jumlah nilai pegangan saham di Bursa Saham ialah sekitar RM 1.66 Trillion (rujukan: Maybank Share Online). Sehingga kini, pegangan saham dan keuntungan bagi pedagang-pedagang saham tidak dikenakan apa-apa cukai oleh pihak kerajaan sekalipun mereka mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit bahkan mungkin mencecah berpuluh-puluh juta ringgit setahun. Kebiasaannya, mereka yang terlibat dengan perdagangan ini adalah golongan-golongan kaya, bukan dari kalangan masyarakat desa dan golongan miskin.

PAS berpandangan adalah sangat wajar cukai baru dikenakan ke atas perdagangan saham (Share Trading) di Bursa Saham Malaysia sebagaimana kaedah berikut :

i) Jika saham itu dipegang selama genap setahun, maka ia dikenakan cukai sebanyak 2.5% berasaskan jumlah paling rendah dalam tempoh setahun.

ii) Jika saham itu diniagakan secara jangka pendek, maka ia kenakan terus sebanyak 2.5% ke atas keuntungan bersih selepas transaksi (on the spot).

Dengan andaian jumlah terendah yang layak dicukai oleh mekanisma percukaian ini berjumlah RM1.5 Trillion, dan dengan kadar cukai 2.5%, pendapatan negara akan bertambah sehingga RM 37.5 Bilion setahun.

Mengambilkira kedua-dua mekanisma cukai yang dicadangkan di atas, jumlah pendapatan baharu negara mencecah sehingga RM51.5 Bilion. Jumlah ini mengatasi sasaran pendapatan daripada pelaksanaan GST iaitu RM 39 Bilion. Dengan itu, tidak ada sebab lagi kenapa GST perlu diteruskan. Bukan sekadar alternatif lain boleh dicari untuk menambah pendapatan negara, bahkan ianya (GST) adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Kadar 2.5% dicadangkan di sini sebagai kadar maksimum sesuai dengan kadar zakat harta yang dikenakan oleh Islam. Pihak kerajaan boleh mengenakan kadar yang lebih rendah jika dibimbangi menimbulkan sentimen negatif dalam kalangan pelabur.

Memandangkan GST dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan alasan bagi menampung kekurangan pendapatan lantaran kejatuhan harga minyak, kerajaan juga boleh memilih untuk menjadikan penyelesaian ini sebagai langkah sementara. Apabila harga minyak kembali stabil pada kadar yang sesuai, kerajaan boleh mengurangkan kadar cukai tersebut atau menghapuskannya terus.

Secara ringkas, pandangan PAS ini wajar dipertimbangkan dalam menyelesaikan masalah kejatuhan ekonomi, dalam masa yang sama untuk tidak menjejaskan rakyat teramai. Perkara ini tampak selari dengan polisi fiskal dalam menguruskan percukaian negara. Justeru implementasinya tidak begitu sukar. Mungkin jika dimuktamadkan, dua cukai ini boleh diaplikasikan menerusi bajet 2019, setelah berakhirnya tahun fiskal 2018.

Baca Dokumen Hijau:

https://drive.google.com/open?id=0Bwbsfc-Zu8kBTFVSUHdwTVcxTVU

 



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: