January 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus


DARI SUDUT LAIN

Ekoran pengumuman yang dibuat oleh Dato Seri Najib Razak berhubung penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, banyak pihak mentertawakannya. Ini kerana sehari sebelum pengumuman itu diadakan, Najib telah memaklumkan kepada wartawan bahawa beliau akan mengadakan sidang media tergempar. Beliau turut memanggil semua ahli Majlis Tertinggi UMNO sehingga kunjungan Zahid Hamidi ke Perlis terpaksa disingkatkan.

Ramai menjangkakan Najib bakal mengumumkan sesuatu yang besar kepada negara dan rakyat. Desas-desus kuat mengatakan bahawa beliau bakal membubarkan parlimen. Tetapi kemudiannya ia hanyalah pengumuman tentang seorang bekas Menteri Besar dan bekas Naib Presiden UMNO masuk UMNO semula.

Bagi kebanyakan pihak, tidak ada apa-apa yang besar tentang kemasukan semula Muhammad Taib ke parti asalnya. Beliau hanyalah seorang individu yang sudah tidak punya apa-apa autoriti di dalam politik, seperti veteran yang sudah melangkah ke alam pencen.

Tetapi bagi sesetengah pihak, sememangnya ia adalah suatu perkara yang besar. Antaranya adalah UMNO sendiri. Mereka melihat kemasukan Muhammad Taib memberi kelebihan yang besar bagi mereka untuk menumbangkan kerajaan Selangor pimpinan Dato Seri Azmin Ali ketika ini. Ini kerana Muhammad Taib adalah bekas Menteri Besar Selangor, yang terlibat dengan kesemua projek-projek melibatkan kerajaan negeri di zamannya.

Pihak kedua yang terkesan langsung adalah PKR dan DAP. Selain sebab di atas, sebab lain yang boleh diambil kira ialah PKR adalah parti terakhir yang disertai Muhammad Taib sebelum kembali kepada UMNO. PKR juga adalah peneraju Selangor ketika ini.

ISU AIR

Banyak projek-projek yang berjalan di zaman Muhammad Taib masih diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor sekarang. Salah satunya adalah berkenaan dengan pengurusan air. Pada tahun 1996, Dr Mahathir yang pada waktu itu menjadi Perdana Menteri Malaysia memperkenalkan dasar penswastaan air. Banyak pemilikan kerajaan diswastakan kepada individu tertentu termasuklah kepentingan air Selangor, iaitu semasa Muhammad Taib menjawat jawatan Menteri Besar. Apabila Pakatan Rakyat (PR) menang di Selangor dan Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar menggantikan Khir Toyo dari UMNO, beliau mahu menunaikan janji manifesto Pakatan Rakyat untuk memberikan air percuma kepada rakyat. Lalu kerajaan memulakan langkah mengambil alih pengurusan air Selangor daripada beberapa syarikat swasta.

Berikutan sikap Tan Sri Khalid yang begitu tegas dalam rundingan pengambilalihan pengurusan air, beliau tidak disenangi oleh rakan-rakan di dalam PKR sendiri. Akhirnya menyebabkan berlakulah krisis dalaman PKR, lalu dicetuskan melalui Langkah Kajang dan beliau digantikan secara kasar oleh Azmin Ali. Kini proses pengambilalihan air dijayakan mengikut rancangan yang tidak dipersetujui Khalid sebelum ini, yang membelakangkan kepentingan rakyat dan masih mempergunakan kepentingan air untuk memberi keuntungan kepada individu melalui rundingan yang sedang diusahakan.

Baca ulasan lanjut:

http://www.malaysia-today.net/ex-selangor-mb-khalids-removal-could-end-up-costing-selangor-up-to-rm2-35-billion/

Sebagai tambahan, salah satu syarikat konsesi air Selangor sebelum ini adalah Puncak Niaga Sdn Bhd. Pengerusinya adalah Tan Sri Rozali Ibrahim, seorang yang amat rapat dengan Muhammad Taib. Sudah tentu segala perkara berkait dengan pengurusan air diketahui secara terperinci oleh bekas Menteri Besar Selangor itu.

ISU TANAH IJOK

Begitu juga dalam isu pengurusan tanah. Pada tahun 1994, kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Muhammad Taib telah menyerahkan salah satu projek di bawah Rancangan Revolusi Hijau (RRH 1) di mukim Ijok, Daerah Kuala Selangor bagi menyiapkan Bandar Alam Perdana kepada empat pemaju. 2820 ekar tanah milik kerajaan, termasuk sebahagian tanah milik peneroka dan individu terlibat dibangunkan atas alasan menaikkan taraf hidup rakyat miskin melalui kegiatan pertanian di kawasan berkenaan.

Namun tahun demi tahun berlalu, projek tersebut telah lari dari landasan asal. Hal demikian kerana kebanyakan tanah yang dikeluarkan atas nama RRH untuk pertanian akhirnya dijadikan tapak pembangunan hartanah. Lebih menyedihkan, projek pembangunan yang lahir daripada tanah RRH kebanyakannya mempunyai status terbengkalai termasuk Bandar Alam Perdana yang disahkan terbengkalai pada tahun 2006 oleh Kementerian Perumahanan Kerajaan Tempatan. Projek ini melibatkan seramai 383 peserta RRH yang kehilangan tanah mereka. Mereka juga tidak dibayar pampasan sepenuhnya. Selain mereka, projek Bandar Alam Perdana turut mengecewakan 3,436 pembeli rumah kerana mereka sepatutnya sudah boleh berpindah ke Bandar berkenaan sejak 2002. Mereka juga menderita kerana terpaksa menanggung bayaran pinjaman projek perumahan itu sedangkan dalam masa yang sama terpaksa membayar sewa rumah sedia ada.

Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pada Mac 2008, Tan Sri Khalid yang juga merupakan ADUN Ijok berusaha bagi menyelesaikan perkara ini dengan bertindak mengambil alih kembali tanah daripada para pemaju. Dua daripada empat syarikat pemaju terlibat iaitu LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd telah membuat tuntutan sivil terhadap kerajaan negeri sebanyak 5 bilion, namun mahkamah telah menolaknya. Sebagai makluman, pengarah bersama kepada kedua-dua syarikat LBCN dan Mujur Zaman adalah Dato Paduka Khairudin Abu Hasan, pengasas Parti Bebas Rasuah yang kini mesra Pakatan Harapan (PH).

Malangnya setelah Dato Seri Azmin naik menggantikan Tan Sri Khalid, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan berunding semula dengan syarikat-syarikat pemaju yang telah jelas merugikan kerajaan negeri dan juga rakyat yang terlibat. Ia sekaligus berlawanan dengan keputusan mahkamah yang membenarkan tindakan pentabiran Tan Sri Khalid untuk mengambil alih tanah tanpa sebarang tuntutan kerugian oleh mana-mana pemaju.

Baca:

https://sg.news.yahoo.com/selangor-favour-dialogue-solve-rm1-004652943.html

http://www.thestar.com.my/business/business-news/2015/09/25/eco-world-to-meet-state-govt/

ISU UNISEL

Isu ketiga pula adalah berkenaan dengan projek pembinaan UNISEL di Bestari Jaya. Isu UNISEL hangat di media sekarang kerana SPRM telah membuat serbuan mengejut ke atas institusi tersebut baru-baru ini. Kontrak pembinaan UNISEL telah dianugerahkan kepada Maxisegar Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Talam Corporation. Syarikat tersebut ditubuhkan oleh Chan Ah Chye, seorang yang rapat dengan Muhammad Taib. Syarikat itu juga telah diasaskan sejak zaman beliau masih sebagai Menteri Besar dan menjadi antara syarikat pemaju utama di Selangor ketika itu.

Semasa Tan Sri Khalid mengambil alih jawatan MB di Selangor, banyak projek di bawah Talam Corporation dan anak syarikatnya terbengkalai akibat menanggung hutang yang banyak kepada kerajaan negeri. Maka Tan Sri Khalid telah mengambil semula aset-aset Talam Corp termasuk tanah-tanah yang dimiliki. Malangnya selepas Azmin Ali menggantikan Tan Sri Khalid, perkara yang sama berlaku sebagaimana projek air dan tanah di Ijok. Langkah-langkah yang diambil Tan Sri Khalid telah diubah sehingga menimbulkan berbagai kemusykilan dari segi pengurusan.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0119&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=bs_07.htm

https://www.malaysiakini.com/news/247796

https://www.malaysiakini.com/news/202941

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/08/256415/sprm-serbu-unisel-mbi

Ini merupakan sebahagian daripada masalah yang sedang dihadapi oleh Selangor kini yang mempunyai kaitan dengan Muhammad Taib. Tidak dinafikan Muhammad Taib juga mempunyai pelbagai kaitan lain tentang projek-projek di peringkat persekutuan terutama di zaman pemerintahan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Sebagai contohnya kes beliau ditangkap dengan sejumlah wang tunai berjumlah 2.4 juta ringgit di Australia berlaku di zaman Perdana Menteri Mahathir iaitu pada tahun 1997. Pada waktu itu juga, Anwar Ibrahim merupakan Menteri Kewangan Malaysia. Muhammad Taib bebas begitu sahaja tanpa sebarang pendakwaan.

https://limkitsiang.com/archive/1997/June97/sg512.htm

Walaupun hari ini PKR menafikan terkesan dengan kemasukan semula Muhammad Taib kepada Umno, tetapi secara faktanya PKR akan berhadapan dengan berbagai kerumitan terutama jika Muhammad Taib tampil sebagai saksi kepada berbagai isu pentadbiran di Selangor. Mungkinkah penyertaan beliau adalah strategi utama Umno untuk merampas kembali Selangor?

 



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: