January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus


THE MALAYSIAN TIMES

KUALA LUMPUR:
Seorang tukang jahit yang merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan
kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais,
dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas
didapati bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu kepada
mahkamah, tahun lalu.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki, menjatuhkan hukuman itu
terhadap S .Yogeswari, 38, yang merupakan saksi pendakwaan ke-37 dalam
perbicaraan kes bunuh itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal
menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Namirah Hanum memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara
bermula hari ini dan turut mengarahkan Yogeswary yang merupakan seorang
ibu tunggal membayar kos pendakwaan berjumlah RM1,500.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam J.Jayarubbiny
yang mewakili wanita itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara
sementara menunggu rayuan dengan menaikkan wang jaminan daripada RM5,000
kepada RM13,000.

Tertuduh juga diperintahkan supaya memfailkan notis rayuan sebelum 30 Nov.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan enam
saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dalam perbicaraan kes itu.

Yogeswari, didapati bersalah memberi keterangan palsu semasa memberi
keterangan sebagai saksi dalam prosiding perbicaraan jenayah di hadapan
Hakim Datuk Azman Abdullah seperti dalam Lampiran B (Lampiran keterangan
palsu) yang dia (tertuduh) mengetahui keterangannya adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Tinggi 1, Kompleks
Mahkamah Jalan Duta, pada 11 pagi, 27 Sept 2016 mengikut Seksyen 193
Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan
denda.

Lampiran B itu merujuk kepada keterangan Yogeswari mengenai kenderaan
pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bernombor PEP 1135 miliknya
yang didakwa digunakan untuk melanggar kenderaan dipandu Kevin Morais.

Dalam keterangannya sebelum ini, wanita itu memberitahu mahkamah
bahawa pada 2 Ogos 2015 sehingga 11 Sept 2015, kenderaan itu ada
bersamanya pada setiap malam, pada tarikh-tarikh tersebut.

Keterangan itu bercanggah dengan keterangan yang diberikannya kepada
Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Kulim, Kedah, Inspektor M.Vasu pada 27 Sept 2015, iaitu kenderaan
tersebut tidak ada bersamanya tetapi seorang lelaki bernama Selvam
menyimpan kenderaan itu sepanjang masa pada tarikh-tarikh berkenaan.

Terdahulu, Jayarubbiny merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman
ringan dengan alasan wanita itu mempunyai seorang anak perempuan berusia
lapan tahun yang masih memerlukan kasih sayang dan itu merupakan
kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa RayaMohammad Izzat Fauzan memohon
tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan dengan mengambil kira faktor
kepentingan awam.

“Tindakan tertuduh yang memberi keterangan palsu dalam kes pembunuhan
berprofil tinggi itu telah menyukarkan dan menghalang pihak pendakwaan
untuk menggunakan keterangan-keterangan sedia ada untuk menyokong kes
itu. Tindakannya juga seolah-olah cuba melindungi tertuduh dalam kes
pembunuhan itu.

“Ia adalah kesalahan serius dan mahkamah perlu mengenakan hukuman
setimpal tanpa terpengaruh dengan isu sentimental tertuduh,”
katanya.–Bernama



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: