January 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUALA LUMPUR: Membina keupayaan dan kecelikan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah penting untuk mengelak lebih ramai menjadi mangsa penipuan melibatkan pelaburan haram.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sejak Disember 2015, lebih 500,000 orang di negara ini telah menjadi mangsa penipuan melibatkan pelaburan haram serta sindiket yang menawarkan pulangan tinggi.

“Oleh itu, pendidikan pelabur memainkan peranan penting dalam memastikan perlindungan pelabur secukupnya dan sebagai langkah berjaga-jaga dalam usaha mencegah orang ramai daripada menjadi mangsa kepada skim berniat jahat ini,” katanya ketika merasmikan Pameran Pelaburan Syariah 2017, di sini pada Sabtu.

Bertema ‘Jom Labur Syariah’, acara dua hari itu dianjurkan Bursa Malaysia bagi mempromosi pelaburan dan dagangan dalam pasaran saham dan pelaburan patuh Syariah.

Johari juga melahirkan kebimbangan mengenai data Bank Negara Malaysia yang menunjukkan 72 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia prapersaraan 54 tahun, mempunyai simpanan hanya RM50,000 dan ke bawah.

Menurutnya, ini bermakna 50 peratus pesara akan membelanjakan keseluruhan simpanan KWSP mereka dalam tempoh lima tahun dan jika tidak dikawal, keadaan ini mempunyai kesan serius ke atas individu, keluarga dan tanggungan mereka, di samping kesan ke atas pembangunan sosial serta ekonomi Malaysia.

“Orang ramai perlu merebut peluang untuk meneroka, memperoleh pengetahuan dan belajar mengenai langkah bagaimana untuk mula melabur dan paling penting ke atas produk pelaburan pasaran modal patuh Syariah dan melabur di Bursa Malaysia-i,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham A Aziz berkata, walaupun terdapat perkembangan memberangsangkan dalam ekuiti patuh Syariah, masih terdapat jurang pengetahuan yang besar dalam kalangan orang ramai mengenai pelbagai peluang dan faedah yang ditawarkan produk terbabit.

Menurutnya, ramai rakyat Malaysia sudah pun terdedah kepada hutang dan pasaran ekuiti dengan menjadi pelabur pasif melalui pelaburan mereka dalam dana bersama atau unit amanah.

Bagaimanapun Bursa Malaysia merancang untuk memperkasa pelabur ke arah menjadi lebih aktif dalam keputusan pelaburan mereka, tambahnya.

Setakat 31 Oktober lalu, sebanyak 677 daripada 902 syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia adalah patuh Syariah, menjadikanya 75.1 peratus daripada pasaran manakala permodalan pasaran Syariah menyumbang 62.8 peratus daripada keseluruhan permodalan pasaran yang berjumlah RM1.86 trilion.

“Ia bukan sahaja menunjukkan kekukuhan pasaran patuh Syariah di Malaysia, tetapi juga menunjukkan ia mendapat penerimaan yang semakin meluas.

“Kecairan saham Syariah juga telah menyaksikan pertumbuhan positif dengan purata nilai harian dagangan saham Syariah di bursa itu meningkat 23 peratus tahun ke tahun,” tambah Amirsham.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: