January 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Saya terkejut bila membaca kenyataan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, yang sekarang ini menjawat jawatan Tunku Abdul Rahman Professor of Law di Universiti Malaya, di dalam portal berita Berita Daily yang mempertikaikan kenyataan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen semalam bahawa ‘freedom of religion is not freedom from religion’ (kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama).

Kata Datuk Dr Shad:

(1) “Tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan ateisme tidak berperlembagaan di Malaysia” (“There is nothing in the Federal Constitution which makes atheism unconstitutional in Malaysia”).

(2) “Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) juga memasukkan hak untuk tidak mempercayai” (“The Universal Declaration of Human Rights (UDHR) also included the right to not believe”).

(3) “Dakwaan Asyraf bahawa ateisme boleh menjejaskan ketenteraman awam tidak disokong oleh data sosial” (“Asyraf’s claim that atheism can lead to public disorder was not supported by corresponding social data”).

Untuk ketepatan, ini adalah transkripsi ucapan Datuk Dr Asyraf Wajdi di Parlimen semalam:

“Saya bersetuju bahawa ideologi ateis ini amat merbahaya kerana ia juga bukan hanya menyebarluaskan pemahaman mereka kepada orang Islam tetapi jugak kepada orang bukan Islam. Di dalam Perlembagaan, kita ada dua peruntukan penting yang harus kita semua fahami. Pertama, di dalam Perlembagaan, untuk orang Islam, dalam konteks agama Islam, dipelihara dan dijaga melalui Perkara 11(1) yang harus dibaca dengan Perkara 11(4), yang mengatakan bahawa kebebasan agama di negara kita ini terikat kepada Perkara 11(4), iaitu menyatakan sebarang bentuk penyebaran agama, kepercayaan, doktrin di kalangan orang Islam itu adalah ditegah, dan kerajaan boleh mengadakan apa-apa jugak peruntukan undang-undang untuk menyekat pemahaman ataupun penyebaran doktrin-doktrin yang dirasakan boleh mengganggu-gugat kesucian agama Islam itu sendiri. Itu untuk orang Islam. Bagi yang bukan Islam, sebenarnya, seperti yang kita semua maklum, ia bercanggah jugak dengan undang-undang yang berkaitan ketenteraman awam dan kemoralan. Bahkan kita sudah ada Akta Hasutan umpamanya yang sekiranya ada pihak-pihak yang cuba untuk menyebarkan ideologi-ideologi doktrin sepertimana ateis ini, yang cuba untuk menyangkal kesucian agama-agama lain, ia boleh diambil di bawah Akta Hasutan ini. Dan kita harus faham bahawa dalam konteks Malaysia, Perlembagaan kita menyatakan bahawa kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama kerana it is unconstitutional, dengan izin, untuk mengatakan bahawa kita boleh menyebarkan pemahaman tidak beragama di dalam konteks negara ini, sebab ‘freedom of religion is not freedom from religion’, bermakna kita tak boleh, dengan izin, incite people to leave religion or to promote to no religion. Kita tak boleh mengarahkan atau mempromosikan satu fahaman yang bertentangan dengan Perlembagaan untuk kita tidak beragama, sepertimana yang saya jawab tadi, dalam konteks Rukun Negara, kita tidak boleh bertentangan dengan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan.”

Pertamanya, sebelum ini, Datuk Dr Shad adalah antara pakar perlembagaan yang saya kagumi kerana pandangan-pandangan tajam beliau yang dilihat sering bersifat neutral dan objektif.

Bagaimanapun, penghormatan saya terhadap beliau ini sudah semakin pudar sejak beliau berkawan rapat dengan kumpulan G25 di dalam dua tiga tahun kebelakangan ini sehingga beliau mula mengeluarkan pelbagai pandangan yang kontroversi yang sesetengahnya kelihatan bercanggah dengan pandangan-pandangan yang beliau sendiri buat sebelum beliau mengasosiasikan diri dengan kumpulan G25.

Di dalam kes ateisme ini, saya merasa sangat hairan kenapa Datuk Dr Shad kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk mempertahankan golongan ateis sehingga ke tahap merendahkan martabat beliau sebagai seorang pakar perlembagaan, di antara lainnya kerana:

(1) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan ateisme tidak berperlembagaan di Malaysia” kelihatan bercanggah dengan beberapa kenyataan beliau sebelum ini. Antaranya ialah kenyataan beliau di dalam kertas kerja beliau bertajuk “The Constitution Of A Muslim Majority State: The Example Of Malaysia” yang menyebut, di bawah tajuk kecil (“Tiada Hak Untuk Ateisme” (“No Right To Atheism”): “Adakah hak untuk percaya merangkumi hak untuk tidak percaya dan mengamalkan ateisme, agnosticisme dan rasionalisme? Dalam kebanyakan negara demokratik hak untuk tidak percaya dilindungi oleh perlembagaan. Tetapi tidak begitu di Malaysia(“Does the right to believe include the right to disbelieve and to adopt atheism, agnosticism and rationalism? In most democratic countries the right not to believe is constitutionally protected. But not so in Malaysia.”). Begitu juga dengan kenyataan beliau di dalam kertas kerja beliau bertajuk “Freedom Of Religion: International And Constitutional Perspectives” yang menyebut: “Perlindungan yang diberikan kepada seseorang individu oleh Perkara 11(2) dan Perkara 12(3) hanyalah terhadap “satu agama yang lain daripada agamanya”. Peruntukan-peruntukan ini menimbulkan masalah terhadap hak-hak perlembagaan mereka yang tiada agama” (“The protection offered to a person by Articles 11(2) and 12(3) is only against “a religion other than his own”. These provisions pose problems for the constitutional rights of nonbelievers, atheists, agnostics, free thinkers and rationalists”).

(2) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) juga memasukkan hak untuk tidak mempercayai” kelihatan bercanggah dengan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa UDHR tidak mengikat Kerajaan Malaysia. Antaranya ialah keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Merdeka University Bhd v. Government of Malaysia [1981] di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa UDHR adalah “hanya satu pernyataan prinsip dan tidak mengandungi sebarang watak kewajiban” (“merely a statement of principles devoid of any obligatory character” dan “bukan satu alat yang mengikat dari segi undang-undang” (“not a legally binding instrument as such”). Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Bato Bagi & Ors v. Kerajaan Negeri Sarawak and another appeal [2011] di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa “kita tidak perlu menggunakan norma antarabangsa sebagai satu panduan untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan kita” (“we should not use international norms as a guide to interpret our Federal Constitution”).

(3) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “Dakwaan Asyraf bahawa ateisme boleh menjejaskan ketenteraman awam tidak disokong oleh data sosial” kelihatan bercanggah dengan peruntukan Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan, yang turut saya gunakan untuk membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh pada 17 Mei 2017, yang sekadar menggunakan istilah-istilah “menyebabkan, atau cuba menyebabkan atau mungkin menyebabkan” dan “memprejudis, atau cuba memprejudis, atau mungkin memprejudis” (“causes, or attempts to cause, or is likely to cause” dan “prejudices, or attempts to prejudice, or is likely to prejudice”) sahaja yang tidak memerlukan kepada penggunaan data sosial begini. Samalah juga dengan perintah pengharaman buku G25 yang sekadar menggunakan istilah-istilah “mungkin memudaratkan ketenteraman awam”, “mungkin menggemparkan fikiran orang ramai” dan “mungkin memudaratkan kepentingan awam” sahaja yang turut tidak memerlukan kepada penggunaan data sosial begini.

Apa pun, dakwaan bahawa ateisme boleh menjejaskan ketenteraman awam ini sebenarnya bukan dimulakan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi, tetapi Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja merangkap Ketua Angkatan Wanita (AWAN) AMANAH.

Untuk ketepatan, ini adalah transkripsi ucapan Dr Siti Mariah di Parlimen semalam:

“Dan kita tahu bahawa yang diwarwarkan itu kebanyakan yang terlibat (dengan ateisme) kita dapat melihat adalah muka-muka Melayu, ya, dan orang-orang muda dan kehadiran mereka dalam masyarakat ini sangat menggusarkan dan menyebabkan masyarakat merasakan sebagai satu ancaman kepada anak muda kita… Mereka ini bukan sahaja setakat tidak mempercayai adanya Tuhan, tetapi tindakan mereka agak agresif, bila di dalam Facebook dan sosial media mereka menyerang agama-agama lain, juga menyerang agama Islam.”

Tahniah saya ucapkan kepada Dr Siti Mariah di atas ucapan beliau di Parlimen yang kelihatan agak berlawan dengan arus AMANAH dan parti-parti lain Pakatan Harapan ini. Jika getir di sana, boleh sahaja Dr Siti Mariah pertimbangkan kembali ke parti lama.

Saya masih teringat betapa bila isu ini ula muncul dulu, empat individu, iaitu Dr Maszlee Malik, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, Rev Dr Sivin Kit dan Dr Azmi Sharom, telah dipetik membantai kerajaan di dalam portal berita South Cina Morning Post pada 13 Ogos lalu.

Kita tunggu lihat siapakah pula yang akan membela golongan ateis pada kali ini.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: