January 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Sebanyak 50 penduduk Orang Asli di Kampung Sang Wai, tanah tinggi
Lojing di Gua Musang berpindah ke Dewan Orang Ramai kampung itu sejak
petang semalam kerana bimbang berlaku tanah runtuh dan banjir lumpur
dari sebuah bukit yang terletak berhampiran kediaman mereka.

Mereka yang terdiri daripada 30 keluarga terpaksa bertindak demikian
pada jam 3 petang semalam ketika hujan lebat kerana takut berulangnya
kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur dari bukit berkenaan yang
digondolkan untuk dijadikan kawasan tanaman sayur.

Seorang penduduk, Kamarudin Uda, 43, berkata setiap kali hujan lebat
akan berlaku tanah runtuh dari bukit tersebut hingga mencemaskan
penduduk yang tinggal di sekitar kawasan kaki bukit tersebut.

Kebanyakan mereka mengambil iktibar daripada kejadian kali pertama
tanah runtuh dari bukit itu pada pukul 4 petang Selasa lepas sehingga
menyekat aliran anak Sungai Belatop selain memusnahkan puluhan pokok
pisang dan tanaman lain di kampung itu, katanya kepada pemberita di Gua
Musang hari ini.

Kamarudin bersama beberapa penduduk kampung tersebut membuat laporan
polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Lojing di sini, pada hari
sama (Selasa lepas).

Beliau berharap pihak berkuasa bertindak segera untuk memberhentikan
kerja-kerja menggondolkan bukit berkenaan yang dilakukan oleh pengusaha
tanaman sayur.

Bahlong Bawai, 52, pula berkata beliau dan keluarganya pernah lari
meninggalkan rumah pukul 1 pagi Khamis lepas apabila tanah bukit itu
runtuh kali kedua ketika hujan lebat.

Katanya mereka tidak mampu lagi bertindak menghalang kegiatan
pengusaha terbabit yang terus berdegil menggondolkan bukit berkenaan.

Penghulu Kampung Sang Wai, Nasir Busu berkata mereka trauma kerana
pernah berdepan detik cemas dalam kejadian pertama runtuhan walaupun
runtuhan itu belum sampai ke kawasan kediaman mereka.

Selain Kampung Sang Wai, beberapa perkampungan Orang Asli lain di
Lojing dan Pos Brooke turut terjejas akibat daripada kerja-kerja
penerokaan bukit untuk tanaman sayur.

Musim tengkujuh sekarang ini yang dijangka sehingga Mac tahun depan kian meresahkan penduduk Orang Asli berkenaan.– Bernama



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: