January 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus



JOHOR BAHRU: Cadangan pengecualian yang dipohon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini disifatkan tidak pernah berlaku seumpamanya dan bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966.

Menegaskan demikian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Surayati Ibrahim berkata disebabkan itu, pihaknya perlu merujuk kepada Penasihat Undang-Undang.

Beliau mengesahkan ada menerima surat permohonan dari parti itu Khamis lepas, dan berkata pihaknya mendapati banyak cadangan pengecualian yang dipohon bukan sahaja bertentangan dengan akta tersebut, malah perlembagaan parti itu sendiri.

Justeru itu, ROS memerlukan seminggu untuk meneliti cadangan dan pengecualian terbabit.

“Ada banyak cadangan yang mereka senaraikan. Walau bagaimanapun, saya sedang meneliti perkara itu dengan pihak penasihat undang-undang (Jabatan Peguam Negara).

“Ada cadangan-cadangan yang diinginkan oleh pihak parti itu, saya tidak pasti, sama ada Akta Pertubuhan 1966 memberi kuasa kepada ROS untuk membuat pengecualian-pengecualian yang diminta,” katanya.

Surayati bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Persatuan Penduduk Johor yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini.

Ditanya apakah pengecualian-pengecualian itu, beliau enggan mengulas lanjut namun menjelaskan ia membabitkan isu bagaimana hendak melaksanakan mesyuarat agung tahunan dengan beberapa pengecualian dan bagaimana hendak meminda perlembagaan dengan pengecualian.

“Jadi saya tidak pasti sama ada pihak ROS atau jabatan boleh memberikan pengecualian yang dimaksudkan oleh parti berkenaan. Ini kerana PPBM mahu meminta perkara yang terdapat di dalam perlembagaan diluluskan untuk dikecualikan,” katanya.

PPBM kini berdepan dengan kemungkinan dibubarkan pendaftarannya oleh ROS sekiranya masih gagal menyelesaikan masalah dalamannya dan mengadakan AGM yang sudah melepasi tempoh sepatutnya pada September lepas.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: