January 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KOTA BHARU – Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan
beberapa kawasan rendah di beberapa jajahan di Kelantan mula dilanda
banjir.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),
seramai 63 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di Islamic Outreach
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kok Lanas di sini, setakat pukul
6.30 petang ini.

Sebuah lagi pusat pemindahan di sini iaitu Dewan Orang Ramai Pasar Melor menempatkan 21 mangsa daripada enam keluarga.

Sementara itu, di Pasir Mas, sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu
Madrasah Haji Daud menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga
manakala di Tanah Merah, 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan
di Sekolah Kebangsaan Kelewek, Bukit Panau.

Tiga pusat pemindahan dibuka di Jajahan Pasir Puteh bagi menempatkan
47 mangsa daripada 11 keluarga iaitu sekolah Kebangsaan Kamil 1 (11
mangsa), Sekolah Kebangsaan Changgai (12 mangsa) dan Sekolah Kebangsaan
Wakaf Raja (24 mangsa).

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran
(JPS), bacaan paras air di kesemua sungai utama di negeri ini masih di
paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras
berjaga-jaga iaitu 7.76 meter berbanding amaran 8.0 meter.

Seorang mangsa yang ditempatkan di Islamic Outreach ABIM, Baharuddin
Husin, 68, dari Kampung Lubuk Besar, Ketereh di sini, berkata beliau
berpindah kerana risau melihat paras air semakin meningkat sehingga
mencecah paras pinggangnya di kawasan rumahnya.

Katanya, hujan yang tidak berhenti sejak semalam menyebabkan sekitar
rumahnya yang terletak di kawasan rendah mudah ditenggelami air.

Beliau dan isterinya berpindah awal ke pusat pemindahan tersebut bagi
mengelakkan kesulitan sekiranya menunggu berpindah saat akhir.

Tinjauan di pusat pemindahan berkenaan mendapati selain makanan dan
minuman, penduduk terbabit diberi barangan keperluan asas seperti
selimut dan bantal.

Setakat ini, tiada jalan-jalan utama yang ditutup kepada kenderaan.— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: