January 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Lembaga Tabung Haji (TH) masih menanti makluman rasmi daripada
kerajaan Arab Saudi berkenaan larangan bergambar di Masjid Nabawi di
Madinah dan Masjidil Haram di Mekah, seperti laporan beberapa portal
tempatan dan antarabangsa.

Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sekiranya
mendapat maklum balas dari Arab Saudi, pihaknya akan memberi kenyataan
rasmi berkenaan perkara tersebut secepat mungkin bagi memastikan jemaah
haji atau umrah negara ini mematuhinya.

“Jika benar larangan tidak boleh bergambar itu dilaksanakan, saya
mohon jemaah kita, tidak kira yang mengerjakan haji atau umrah
mengikutinya memandangkan ia adalah undang-undang yang ditetapkan pihak
sana,” katanya ketika ditemui media pada Program Berkhatan Perdana
Peringkat Parlimen Baling hari ini.

Baru-baru ini, beberapa portal berita tempatan dan antarabangsa
melaporkan pihak berkuasa Arab Saudi melarang pengunjung Masjidil Haram
dan Masjid Nabawi mengambil gambar atau video bagi melindungi dan
memelihara kesucian tempat itu, selain supaya tidak mengganggu
kelancaran jemaah lain beribadah.

Beliau berkata ia mungkin antara usaha kerajaan Arab Saudi mengekang
penyebaran berita dan gambar tidak elok yang berlaku di kedua masjid
tersebut dalam media sosial seperti banjir, bangunan runtuh atau perkara
buruk lain, yang sebenarnya tidak berlaku.

“Bagi saya sendiri, mengambil gambar di kedua masjid tersebut memang
sedikit sebanyak menganggu perjalanan ibadah jemaah lain terutama ketika
waktu sesak melakukan tawaf di Masjidil Haram. Apa pun, kita tunggu
saja keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan sana,” katanya.

Abdul Azeez berkata apa saja keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung
perkara itu dipercayai tidak akan menjejaskan hubungan akrab antara
kedua-dua negara.

“Jadi, sekiranya ia (mengambil gambar) diputuskan tidak boleh, jemaah
kita ikutlah kerana ia secara tidak langsung membantu menjaga hubungan
baik antara negara kita dengan Arab Saudi serta memelihara kesucian
kedua-dua masjid tersebut.

“Jika tidak boleh bergambar di situ, mungkin pihak mereka akan
menetapkan kawasan khusus di tempat lain yang boleh bergambar,” katanya.- Bernama



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: