January 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung awal bulan depan bakal menjadi titik tolak kepada pergerakan jentera penerangan UMNO yang lebih intensif dan ekstensif sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata buat pertama kalinya satu konvensyen khas melibatkan lebih 1,500 tenaga kanan penerangan akan diadakan pada perhimpunan agung parti itu.

Konvensyen Penerangan dan Media pada 5 Dis itu dijangka dirasmikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, katanya.

“Ini akan diadakan di sebelah pagi dan akan berakhir di sebelah petang dengan taklimat Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak. Taklimat ini akan melibatkan lebih ramai tenaga akar umbi pemimpin biro politik dan sebagainya, dikira hampir 4,000 orang.

“Ini sebagai satu ‘kick-off’ dan juga untuk membentuk satu mood kesiapsiagaan dan ‘winning mentality’ untuk PRU akan datang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jentera Penerangan UMNO di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata kesemua 133,580 ketua penerangan dan setiausaha di semua peringkat di seluruh negara telah diarah meningkatkan intensiti pergerakan jentera penerangan parti melalui pelbagai program di kawasan masing-masing.

“Mereka ini digerakkan serta-merta dan mereka bukan sahaja dikehendaki terlibat dalam ceramah… skop penerangan sudah berubah sama sekali, ada banyak lagi aktiviti lain bersifat penerangan termasuk mengadakan program secara dalam talian, perkongsian maklumat melalui pelbagai kaedah program bersifat ‘engagement’ dengan kelompok yang biasanya tidak hadir dalam program rasmi parti,” katanya.

Selain ceramah, katanya jentera penerangan UMNO akan terus menumpukan kepada program ‘Perjuangan For All’ dan sehingga kini sebanyak 17 siri telah diadakan dan program dalam talian ‘Anda Tanya, Kita Jawab’ menerusi portal UMNO online.

Beliau berkata sebuah lagi program baharu iaitu jelajah ‘Mobile LED’ yang menggunakan trak diwujudkan bagi mengendalikan program dan aktiviti penerangan secara santai.

Ditanya mengenai keberkesanan program penerangan yang telah diadakan, beliau yakin orang ramai memahami penjelasan yang diberikan terutama berhubung isu yang ditimbulkan pembangkang.

“Ini kerana rakyat Malaysia rata-rata ‘knowledgeable’ tetapi ada juga sesetengah pihak kalau jawab apa-apa pun, tidak akan beri kesan sebab mereka dah ada tanggapan sendiri, lebih-lebih lagi pembangkang.

“Tetapi fokus kita adalah majoriti rakyat Malaysia sebab mereka ini nak tengok kebenaran,” katanya.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: