January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Sembilan tahun menjadi pembangkang di Selangor ternyata menginsafkan
Umno Selangor yang bertekad tidak mahu lagi mengulangi episod duka
apabila terlepas negeri itu dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum
ini.

Atas kesedaran itu juga Umno Selangor menggerakkan gerak kerja
semaksimumnya untuk menghadapi PRU ke-14 (PRU14) merangkumi peringkat
cawangan, bahagian dan negeri.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Johan Abdul Aziz
berkata untuk tujuan itu, Umno melantik koordinator di kawasan-kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dimenangi BN untuk memimpin gerak
kerja berkenaan.

“Ya kami dah serik dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Saya
lihat kesungguhan untuk merampas balik Selangor di peringkat akar umbi
cukup kuat ketika ini. Gerak kerja kami cukup ‘solid’… koordinator di
DUN yang kalah, mereka buat kerja dengan baik.

“Walaupun kami di Selangor ni dah bertahun jadi pembangkang tetapi
kami tetap jalankan tanggungjawab membantu rakyat. Mana yang kita boleh
bantu kita bantu seperti keperluan asas banyak yang Perdana Menteri
(Datuk Seri Najib Razak) kita luluskan di kawasan Selangor ini,” katanya
dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Ketika ini, kedudukan 56 DUN di Selangor terdiri daripada DAP (14
kerusi), PKR dan PAS masing-masing 13 kerusi, Umno-BN (12 kerusi) dan
Parti Amanah Negara serta Bebas, masing-masing dua kerusi.

Bagi menggerakkan usaha Umno Selangor merampas semula negeri itu pada
PRU14, Johan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Semenyih, berkata
parti tersebut menjalankan gerak kerja yang agresif namun bertempat.

Beliau berkata Umno Selangor turut menggunakan medium media sosial
secara maksimum untuk memperjelas atau menyampaikan sebarang isu negeri
atau nasional supaya segala maklumat cepat sampai kepada rakyat.

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar
sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
turut membuka ruang dan peluang untuk Umno Selangor berbakti kepada
rakyat di kawasan bandar.

“Selepas Tan Sri (Noh) dilantik sebagai menteri, beliau terus buat
kertas kerja untuk diserahkan kepada perdana menteri yang kemudian
meluluskan peruntukan RM300 juta untuk membantu miskin bandar.

“Daripada jumlah itu, RM160 juta diperuntukkan untuk Selangor, ini
bukan sebab Tan Sri dari Selangor tetapi disebabkan nisbah keseluruhan
rumah pangsa dan rumah kos rendah 50 peratus terletak di Selangor.

“Kita terima keluhan daripada rakyat mengenai ketiadaan lif di rumah
pangsa yang banyak tingkat sehinggakan nak bawa turun jenazah susah… ini
yang kita persembah kepada perdana menteri dan ternyata kebijaksanaan
kita dicemburui oleh kerajaan negeri. Strategi kita ialah terus dekati,
dampingi rakyat dan apa yang kita boleh bantu kita bantu,” katanya.

Mengenai sasaran Umno dan BN Selangor pada PRU14, Johan berkata
pihaknya memberi tumpuan kepada 35 kawasan DUN termasuk 12 yang kini
dipegang oleh Umno.

Enggan mendedahkan kesemua kawasan DUN terbabit, beliau berkata Umno
Selangor telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan yakin
akan dapat mengatasinya sebelum PRU14.

“Walaupun dikatakan PRU14 ini adalah peluang terakhir untuk BN menang
semula di Selangor segalanya boleh berlaku dalam politik… yang penting
Umno Selangor harus bersatu padu di bawah Noh supaya satu nakhoda satu
arahan dipatuhi.

“Saya juga lihat idea Tan Sri Noh cukup bagus… beliau tanamkan dalam
pemikiran jentera akar umbi bahawa setiap gerak kerja mesti fikirkan
pertandingan satu lawan satu, jadi semua kena kerja kuat.

Kekalahan di
Selangor sebelum ini mungkin ada hikmahnya… bila kita jadi kerajaan
semula kita kena pastikan tidak terlepas lagi, kena jaga Selangor
betul-betul,” katanya mengakhiri bicara.
Bernama



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: