January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUALA NERANG: Musim cuti persekolahan tiba lagi dan ini merupakan saat-saat yang paling ditunggu-tunggu oleh para pelajar.

Ini kerana apabila tiba musim cuti persekolahan, ibu bapa pastinya akan merancang untuk membawa anak-anak mereka bercuti bagi merehatkan minda selepas penat lelah menuntut ilmu sebelum ini.

Namun cuti sekolah tidak bererti segalanya bercuti. Pada minggu akhir persekolahan biasanya para guru telah mengagihkan buku teks untuk diulangkaji di rumah sebagai persediaan sesi persekolahan akan datang.

Untuk memastikan tiada keciciran dari segi waktu mengulang kaji pelajaran dan mengisi masa lapang pada waktu cuti persekolahan, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membuat perancangan terbaik untuk anak-anak mereka.

Ini kerana, golongan belia terdedah dengan anasir-anasir negatif jika ibu bapa tidak bijak menyusun perancangan untuk anak-anak mereka.

Paling malang jika anak-anak memilih rakan yang tidak mempunyai hala tuju kehidupan. Pengaruh rakan sebaya amat kuat dan boleh memberi kesan negatif sekiranya rakan yang dipilih itu mendorong ke arah perkara yang tidak bermoral.

Bagi memastikan kalender cuti persekolahan terisi dengan perkara berfaedah, pihak sekolah juga tidak ketinggalan dalam sama-sama memainkan peranan sewaktu musim cuti persekolahan.

Pihak sekolah boleh mengambil inisiatif supaya cuti sekolah dipenuhi dengan perkara yang berfaedah. Jadual kelas terancang telah disususn dengan kemas dan agihan tugas kepada guru telah ditetapkan oleh pihak pengurusan sekolah.

Biasanya minggu pertama cuti, Program Kelas Cuti Terancang akan dilaksanakan. Malah, ibu bapa perlu faham dengan situasi itu dengan merancang percutian mereka supaya tidak menjejaskan perjalanan kelas cuti terancang.

Kelas cuti terancang yang dilaksanakan itu tidak mengenakan sebarang bayaran. Oleh itu kerjasama dari ibu bapa supaya dapat membenarkan anak-anak hadir ke sekolah adalah penting. Ingatlah, jasa dan pengorbanan guru amat besar sekali.

Selain merancang percutian pada musim cuti persekolahan, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan agama seperti penekanan tentang solat, fardu ain dan sebagainya.

Penerapan didikan agama bukan hanya diletakkan di bahu guru agama di sekolah semata-mata sebaliknya perkara itu juga boleh dilakukan sebagai permulaan sewaktu musim cuti persekolahan.

Semoga percutian sekolah ini bukan sahaja memenuhi tuntutan fizikal malah yang lebih penting ialah tuntutan kerohanian juga perlu dititikberatkan bagi menjamin kesejahteraan hidup anak-anak di masa akan datang.

Anak-anak muda ini merupakan golongan yang bakal mewarisi kepemimpinan negara dan membina agama bangsa yang bertamadun selain berperanan sebagai pemimpin dalam rumah tangga.


* AWANIJr merupakan inisiatif terbaharu Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar-pelajar sekolah di seluruh negara menyumbang kreativiti mereka dalam bentuk penulisan dan multimedia.

** Sumbangan mereka bukan merupakan pendapat Astro AWANI.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: