January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan sejak Sabtu menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa jajahan di Kelantan mula dilanda banjir.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 63 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kok Lanas di sini, setakat pukul 6.30 petang Ahad.

Sebuah lagi pusat pemindahan di sini iaitu Dewan Orang Ramai Pasar Melor menempatkan 21 mangsa daripada enam keluarga.

Sementara itu, di Pasir Mas, sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu Madrasah Haji Daud menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga manakala di Tanah Merah, 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kelewek, Bukit Panau.

Tiga pusat pemindahan dibuka di Jajahan Pasir Puteh bagi menempatkan 47 mangsa daripada 11 keluarga iaitu sekolah Kebangsaan Kamil 1 (11 mangsa), Sekolah Kebangsaan Changgai (12 mangsa) dan Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja (24 mangsa).

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan paras air di kesemua sungai utama di negeri ini masih di paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras berjaga-jaga iaitu 7.76 meter berbanding amaran 8.0 meter.

Seorang mangsa yang ditempatkan di Islamic Outreach ABIM, Baharuddin Husin, 68, dari Kampung Lubuk Besar, Ketereh di sini, berkata beliau berpindah kerana risau melihat paras air semakin meningkat sehingga mencecah paras pinggangnya di kawasan rumahnya.

Katanya, hujan yang tidak berhenti sejak Sabtu menyebabkan sekitar rumahnya yang terletak di kawasan rendah mudah ditenggelami air.

Beliau dan isterinya berpindah awal ke pusat pemindahan tersebut bagi mengelakkan kesulitan sekiranya menunggu berpindah saat akhir.

Tinjauan di pusat pemindahan berkenaan mendapati selain makanan dan minuman, penduduk terbabit diberi barangan keperluan asas seperti selimut dan bantal.

Setakat ini, tiada jalan-jalan utama yang ditutup kepada kenderaan.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: