January 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus



ISKANDAR PUTERI: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi diarah keluar daripada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini kerana enggan menarik balik kenyataannya terhadap Menteri Besar Johor ketika membahaskan Bajet Johor 2018.

Speaker DUN Johor Tan Sri Mohamad Aziz ketika membuat keputusan itu berkata tindakan Wong enggan menarik balik kenyataannya terhadap Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercanggah dengan peraturan mesyuarat.

“Jadi, saya menggunakan kuasa yang ada pada saya untuk mengarahkan YB Senai keluar Dewan sekarang juga,” katanya ketika persidangan bersambung selepas rehat tengah hari.

Wong daripada DAP mematuhi arahan itu walaupun terdapat bantahan daripada beberapa wakil rakyat pembangkang yang tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker.

Terdahulu, ketika membahaskan Bajet Johor 2018 pada sebelah pagi, Wong meminta Mohamed Khaled menjelaskan tuduhan menerima wang berjumlah RM12 juta daripada pemaju pada Mac lepas untuk mengubah status perumahan lot bumiputera kepada lot bukan bumiputera.

Wong berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi dokumen-dokumen yang dimuat naik dalam sebuah laman web.

Kenyataan Wong menyebabkan DUN Johor bertukar kecoh apabila lebih 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memintanya menarik balik kenyataan tersebut.

Wong enggan berbuat demikian dengan mengatakan kenyataan tersebut bukan tuduhan, mendorong wakil rakyat BN memohon Timbalan Speaker DUN Johor Datuk Baderi Dasuki mengarahkan Wong dirujuk ke Jawatankuasa Khas Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Johor.

Sementara itu, Mohamad yang ditemui pemberita di luar persidangan, berkata tindakan terhadap Wong dibuat mengikut Peraturan 50 Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor.

Arahan terhadap Wong itu hanya untuk hari ini, katanya.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: