January 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUALA BERANG: Penduduk sekitar Hulu Terengganu diminta berjaga-jaga berikutan berlaku peningkatan paras air sungai yang dijangka menyebabkan banjir lewat malam ini.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik berkata peningkatan paras air sungai berkenaan berlaku sejak 7 petang tadi di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Berang, Hulu Terengganu.

“Penduduk terutamanya di Kampung Kepah, Kampung Felda Pasir Pelata, Kampung Paya Besar, Kampung Menerong, Kampung Padang Setar, Kampung Tengkawang dan sekitarnya harus bersiap sedia kerana paras air mungkin akan terus naik dan kemungkinan banjir akan berlaku.

“Semua ketua jabatan serta ketua sektor yang terlibat dipohon bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir.

“Jabatan Pengaliran dan Saliran diminta memberi penerangan berdasarkan laporan yang dipaparkan di laman sesawang agar masyarakat lebih memahami keadaan semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Hulu Terengganu, Lt (PA) Sansuri Yacob berkata kawasan di sekitar Kampung Kuala Ping, Kampung Kepah dan Kampung Nibong menunjukkan trend peningkatan paras air sungai.

“Kita ramalkan air sungai akan melimpah ke jalan raya jika hujan turun berterusan sehingga pukul 10 malam ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran menerusi satu kenyataan mengeluarkan amaran banjir yang dijangka berlaku pada 12.30 malam esok (28hb) dan tiga daerah turut diarah berjaga-jaga iaitu Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: