January 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus


THE MALAYSIAN TIMES

 

GEORGE TOWN:
Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyekat peruntukan
bantuan mangsa banjir kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun
Bunga daripada PKR Cheah Kah Peng adalah tidak wajar dan tidak
menghormati pilihan rakyat, kata Pengerusi PKR negeri Datuk Mansor
Othman.

Beliau berkata sebagai wakil rakyat yang mendapat mandat rakyat dalam
pilihan raya umum lepas, Cheah tidak sepatutnya disekat daripada
menjalankan kewajipan sebagai wakil rakyat bagi penduduk Kebun Bunga.

Katanya tindakan Lim menyerahkan tugas berkenaan kepada ADUN Pulau
Tikus daripada DAP Yap Soo Huey juga dilihat seperti mengetepikan
peranan PKR dalam kerajaan negeri pimpinan DAP itu.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa tindakan ini telah sedikit
sebanyak mencalarkan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan,” katanya
dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Lim dalam sidang media berkata pendaftaran mangsa banjir di
kawasan Kebun Bunga akan diselia oleh beliau sendiri dan Yap atas sebab
prosedur dalaman.

Mansor menyifatkan alasan bahawa sekatan itu disebabkan oleh prosedur
dalaman sebagai amat naif dan sukar diterima kerana keputusan menarik
peruntukan kepada wakil rakyat Kebun Bunga itu tidak melalui
perbincangan dan rundingan dengan PKR negeri.

Sementara itu, ADUN Pulau Betong Datuk Dr Muhamad Farid Saad
menyifatkan tindakan Lim mengetepikan ADUN PKR untuk memperakui borang
permohonan pampasan banjir sebagai satu tindakan yang sangat tidak
demokratik.

“Saya tidak hairan jika ADUN-ADUN BN (Barisan Nasional) tidak
diberikan kuasa memperakui permohonan itu, tapi bila ADUN PKR sendiri
tidak dibenarkan juga ia sesuatu yang agak janggal.
Bukankah PKR adalah
sebahagian dari kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang kini dilihat sudah tidak
mengendahkan suara-suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat di
negeri ini yang membantu kemenangan DAP dalam pilihan raya umum.

“Jelas pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak boleh dikritik.
Suara mengkritik dianggap suara menentang. Mungkin itulah yang berlaku
ke atas rakan saya YB PKR Kebun Bunga Cheah Kah Peng diketepikan kerana
mengkritik ketua menteri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau
Pinang.

“Sebelum ini, YB PKR Penanti Norlela Ariffin juga diberi tekanan
apabila beliau membangkitkan isu operasi kilang haram di Kampung Sungai
Lembu dalam DUN Penanti,” katanya.— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: