January 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus


IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham Cheong Chee Khing menyifatkan dakwaan yang dikenakan terhadapnya mengenai pembayaran juri pertandingan karaoke sebagai tidak berasas dan berat sebelah.

Katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, dia kesal kerana laporan polis dibuat terhadapnya dan sidang media dipanggil tanpa perkara itu terlebih dahulu dibincangkan dengannya.

Cheong tidak menafikan mengenai penyertaan individu bernama Lee Toh Chee @ Lee Wah, 77, sebagai salah seorang juri pertandingan itu dalam satu konsert amal pada September.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan guru muzik itu, yang mengatakan Cheong enggan membuat pembayaran kepada juri ketika ditemui di pejabatnya, adalah tidak benar sama sekali.

“Dia datang kepada saya di pejabat dan menuntut wang pembayaran, sedangkan saya sebenarnya membayar semua juri dan individu yang membuat persembahan menggunakan wang peribadi saya.

“Saya tidak boleh sesuka hati menggunakan wang di Pusat Khidmat DUN kerana duit itu daripada rakyat,” katanya sambil menambah, dia telah membuat pembayaran RM300 kepada juri terbabit secara dalam talian pada 16 November. 

Resit yang menunjukkan bayaran RM300 sudah dibuat secara dalam talian.

Pada satu sidang media semalam, Lee Wah mendakwa diugut dan digertak seorang wakil rakyat Perak berkaitan bayaran perkhidmatan juri pertandingan karaoke yang gagal dilunaskan sebanyak RM600.

Dalam laporan polisnya, dia mendakwa telah pergi berjumpa ADUN tersebut untuk meminta bayaran tetapi keadaan menjadi buruk apabila dia dimaki dan dimarahi wakil rakyat itu dan pembantu khasnya.

Cheong menjelaskan, sebelum pertandingan dijalankan, pihaknya telah meminta Lee Wah mencari 40 peserta bagi memenuhi kuota selain berjanji secara lisan akan membayar RM200 bagi setiap juri.

“Bagaimanapun hanya 17 peserta sahaja yang menyertai pertandingan itu sekali gus menunjukkan Lee Wah gagal memenuhi perjanjian awal kami.

“Justeru, kami telah meminta budi baik pihaknya untuk menetapkan semula bayaran kepada RM100 setiap seorang berbanding RM200 sebelum ini,” katanya.

Cheong berkata, dia kesal dengan tindakan Lee Wah yang tidak memaklumkan kepadanya mengenai perasaan tidak puas hati itu, sebaliknya mengambil tindakan melulu memanggil sidang media.

Dia juga menjelaskan, tidak berlaku sebarang pertelingkahan membabitkan unsur gertak atau makian seperti yang didakwa Lee Wah ketika pertemuan mereka di Pusat Khidmat DUN Bercham itu.

Sebaliknya, katanya, bendahari pertandingan karaoke memuatnaik posting berhubung kejadian itu di Facebook semata-mata kerana merasakan tindakan Lee Wah tidak professional.

Tambahnya, dia akan menghubungi peguamnya untuk memastikan perkara ini dapat dikendalikan menurut prosedur undang-undang yang betul.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: