January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KE ARAH POLITIK MALAYSIA YANG MATANG (SIRI 9)

DARI SUDUT LAIN

Baru-baru ini Parlimen telah meluluskan Bajet 2018 untuk bacaan kali pertama. Daripada 222 orang ahli Dewan Rakyat, 107 menyokong bajet ini, sementara 59 pula membantah. Terdapat 11 orang di kalangan ahli parlimen yang berkecuali daripada pengundian. Kesemuanya adalah daripada PAS.

Ini merupakan kali ketiga PAS mengambil sikap berkecuali dalam pengundian bajet negara. Banyak pihak menghentam PAS atas sikapnya itu. Tetapi bagi PAS, mereka memiliki jawapan tersendiri atas tindakan tersebut.

Mengikut Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad, sikap PAS untuk berkecuali adalah kerana mereka mengakui bahawa terdapat manfaat untuk rakyat dan negara dalam bajet yang telah dibentangkan Menteri Kewangan itu. Walaubagaimanapun, tidak semuanya diterima oleh PAS. Justeru, menolak bajet secara keseluruhan adalah tidak wajar kerana ia akan turut menghalang kebaikan terhadap rakyat. Menyokong secara kesuluruhan juga tidak wajar bagi PAS, kerana beberapa perkara yang dilihat sebagai tidak adil untuk rakyat.

Pendirian PAS mencerminkan sikap profesional mereka dalam berhadapan dengan sesuatu keadaan. Walaupun mereka bukan kerajaan, mereka tidak membangkang semua dasar dan amalan kerajaan. Mungkin inilah apa yang dimaksudkan dengan Budaya Politik Matang dan Sejatera (BPMS) yang digagaskan mereka.

Kesan penolakan bajet adalah amat buruk bagi negara dan rakyat. Bajet ataupun dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perbekalan dalam bahasa perundangannya merupakan perkara asas yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan (Fasal 100) sebelum dana persekutuan boleh disalurkan kepada mana-mana pihak yang diperuntukkan. Kegagalan meluluskan RUU Perbekalan akan menyebabkan dana kerajaan tidak dapat dikeluarkan. Secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada 1.2 juta penjawat awam yang menerima gaji daripada dana ini (emolumen). Juga kepada mereka yang bergantung hidup kepada dana dari agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat. Seluruh aktiviti negara juga akan terbantut sehinggalah bajet diluluskan.

Menolak bajet bukan cara yang matang dalam berpolitik. Walaupun ia mungkin menguntungkan persepsi politik terhadap parti-parti tertentu, tetapi secara keseluruhannya ia hanya akan menyusahkan rakyat. Ia tidak lebih sekadar tindakan populis semata-mata.

Ironinya, DAP yang mengambil sikap menolak Bajet tahun lalu dan kini menolak pula Bajet 2018, tiba-tiba memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk pengurusan bencana banjir di Pulau Pinang. Perkara ini telah dibidas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, dengan menyatakan, “Kenapa kamu mahu minta bajet sedangkan kamu sendiri membangkangnya?”. Malah terdapat suara-suara dari bahagian ahli parlimen BN menyorak “Tak malu! Tak malu!”

https://www.thestar.com.my/news/nation/2017/11/14/penang-mp-rapped-for-asking-for-allocation-while-rejecting-budget/

Jika benar DAP dan PH berpegang kepada prinsip, sepatutnya penolakan mereka terhadap bajet perlu konsisten. Mereka bukan sahaja tidak patut meminta bajet tambahan, bahkan tidak perlu juga untuk menerima gaji sebagai ahli parlimen yang dikeluarkan daripada bajet tersebut.

Kerana itulah sikap PAS dilihat lebih rasional dan profesional dalam hal ini. Mereka tidak menyokong mahupun membangkang, sebaliknya berkecuali. Mereka memiliki pandangan tersendiri berkenaan bajet. Ini boleh dilihat melalui sesi perbahasan bajet, apabila beberapa orang ahli parlimen PAS memberikan kritikan membina terhadap bajet seperti ahli parlimen Kuala Nerus, Temerloh dan lain-lain.

Antara yang dikritik adalah percukaian GST yang dibangkang oleh parti tersebut sebelum ia diperkenalkan lagi. Namun kritikan mereka tidak kosong, bahkan menawarkan alternatif bagi menggantikan GST. Mereka mengemukakan cadangan cukai korporat dan cukai saham. Huraian mengenai perkara tersebut dijelaskan di dalam Dokumen Hijau yang dikeluarkan oleh PAS.

Namun sikap PAS ini terus dikritik hebat terutama oleh pihak Pakatan Harapan (PH). Apa yang menarik, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sendiri mengakui bajet 2018 memberi manfaat untuk rakyat. Bermakna dalam PH sendiri bukan semuanya tidak bersetuju dengan bajet 2018. Mungkin kerana itulah, daripada 71 orang ahli dewan rakyat PH yang ada, hanya 59 sahaja yang mengundi tidak bersetuju. Baki 12 orang lagi langsung tidak hadir dalam sesi pengundian.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/rafizi-akui-bajet-2018-beri-manfaat-kepada-rakyat-159476

ketidahadiran mereka menimbulkan tanda tanya, apakah sikap sebenar 12 orang yang tidak hadir itu terhadap bajet 2018? Apakah mereka bersetuju atau tidak? Jika pendirian mereka sama juga seperti PAS, kenapa mereka tidak gentleman dan mengundi sahaja untuk berkecuali? Apa yang mereka takutkan?

 



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: