January 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus



PUTRAJAYA: Waris penumpang pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 gagal dalam rayuan hari ini untuk mengekalkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai defendan dalam saman yang difailkan mereka.

Panel Mahkamah Persekutuan terdiri daripada lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dengan sebulat suara menolak rayuan oleh dua anak lelaki dan ibu bapa kepada pasangan Tan Ah Meng dan isterinya Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang.

Hakim Raus, bagaimanapun memutuskan bahawa ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan kerajaan Malaysia kekal sebagai defendan dalam saman tersebut.

Beliau menolak rayuan ketua pengarah DCA dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 27 Okt tahun  lepas yang menamakan semula mereka sebagai defendan.

Hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Hakim Raus memerintahkan waris tersebut membayar kos sebanyak RM10,000 kepada MAB.

Berikutan keputusan hari ini, defendan-defendan yang kekal dalam saman itu ialah Malaysia Airlines System Berhad (MAS), ketua pengarah DCA dan kerajaan Malaysia.

Ah Meng dan Hsiu Ling serta anak sulung mereka, Tan Wei Chew, 16, ialah antara 239 penumpang dan kru yang menaiki penerbangan MH370 apabila pesawat itu hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Lima ahli keluarga itu, termasuk anak lelaki pasangan tersebut iaitu Tan Wei Hong dan Tan Wei Jie, ibu bapa Ah Meng, Tan Hun Khong dan Lai Chew Lai serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien memfailkan saman kerana kematian pasangan itu dan anak mereka.

Dalam kenyataan tuntutan, mereka mendakwa bahawa MAS telah melanggar kontrak apabila ia gagal memastikan pesawat berada dalam keadaan baik yang mengakibatkan penumpang dan pesawat tidak dapat dikesan.  

Mereka selanjutnya mendakwa bahawa disebabkan kecuaian defendan, kedua-dua kanak-kanak itu telah menjadi yatim piatu dan juga kehilangan abang sulung mereka, menyebabkan mereka mengalami trauma dan kerugian termasuk bantuan kewangan dan kasih sayang.

Mereka menamakan MAS, MAB, ketua pengarah DCA, panglima TUDM dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

MAB, ketua pengarah DCA, panglima TUDM dan kerajaan Malaysia telah memohon untuk membatalkan saman itu di Mahkamah Tinggi. Ketua pengarah DCA, panglima TUDM dan kerajaan Malaysia berjaya membatalkan saman itu tetapi MAB gagal dalam rayuan untuk membatalkan saman.

Pada 7 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan menggugurkan MAB sebagai defendan dalam saman tersebut.

Pada 27 Okt tahun lepas, satu lagi panel Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh waris untuk menamakan semula ketua pengarah DCA dan kerajaan Malaysia sebagai defendan tetapi menolak rayuan mereka untuk menamakan panglima TUDM sebagai defendan.

Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili waris penumpang, peguam Logan Sabapathy mewakili MAB sementara peguam kanan persekutuan Alice Loke mewakili ketua pengarah DCA, panglima TUDM dan kerajaan.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: