January 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus



SHAH ALAM: Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini menyifatkan penyebaran maklumat kononnya anak saudara Menteri Besar Selangor antara individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dalam perlombongan pasir haram adalah berniat jahat.

Pengarah Komunikasi Strategik pejabat itu, Yin Shao Loong dalam satu kenyataan turut menyatakan kekesalan dengan penyebaran maklumat tersebut secara meluas melalui media sosial dan blog sebelum penahanan dilakukan oleh SPRM.

“Kami tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan sebarang siasatan. Namun, pembocoran maklumat secara meluas sebelum mana-mana pihak ditahan seperti ini jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat bagi memburukkan reputasi Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan kerajaan negeri menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Sekiranya proses siasatan dijalankan secara profesional dan telus, pentadbiran ini mengalu-alukan siasatan yang mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak tertinggi yang berkepentingan,” katanya.

Kenyataan itu tidak mengesahkan atau menafikan bahawa individu yang ditahan terbabit adalah anak saudara Mohamed Azmin.

Yin bagaimanapun kemudian mengesahkan bahawa individu berkenaan merupakan anak kepada kakak Mohamed Azmin.

Semalam, sebuah blog melalui laporannya mendakwa anak saudara Mohamed Azmin ditahan SPRM bersama-sama dua lagi ahli perniagaan bagi siasatan kes rasuah dalam aktiviti perlombongan pasir dan pelbagai projek di Selangor.

Sementara itu, cubaan pihak media untuk mendapatkan komen Mohamed Azmin sendiri gagal apabila menteri besar itu meninggalkan pejabatnya kira-kira pukul 12.30 tengah hari melalui lif khas.

Pagi tadi, dua pengarah syarikat melombong pasir, seorang pengurus tapak bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan ditahan reman tujuh hari di Mahkamah Majistret Putrajaya, bagi membantu siasatan kes aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di Selangor.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: