December 12, 2017
You can use WP menu builder to build menus


ULASAN l Minggu ini media akan
tertumpu kepada Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71. Sudah pasti liputan
kali ini akan lebih meluas memandangkan persidangan berkenaan dikatakan
sebagai persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Tidak mengapa. Ini musimnya dan ini kebiasaannya. Tidak ada apa yang
pelik. Jika Umno tidak mengambil kesempatan penuh daripada persidangan
tersebut untuk memalu gendang perang PRU, maka itu yang pelik.

Justeru, nantikan mantera Umno seperti biasa. Nantikan penegasan
daripada pucuk pimpinannya akan perjuangan parti itu untuk membela nasib
Melayu, bumiputera dan Islam.

Nantikan laungan bergema bahawa parti itulah satu-satunya parti yang
membawa kemerdekaan dan memimpin bangsa serta negara ke arah kejayaan.

Dengarlah nanti pelbagai ulangan inisiatif transformasi yang telah
dilaksanakan dan angka-angka hebat lagi gah yang membuktikan Umno BN
telah berjaya memartabatkan bangsa, agama dan negara.

Dan sudah semestinya nantikan juga kesemarakan semangat dan azam
supaya setiap anggota dan jentera parti membina kesatuan menghadapi
PRU-14 dalam nada mood kemenangan atau winning mentality.
Seperti kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam blognya,
“…UMNO adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban
hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia…”

Terlalu meleleh

Di samping itu, persidangan Umno tidak akan meriah tanpa serangan dan
sindiran. Meskipun nada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agak lembut
menjelang persidangan dengan pesanan supaya jangan menyerang Tun Dr
Mahathir Mohamad dan jangan lupakan kepentingan bangsa lain namun
senjata serangan dan sindiran lazimnya wajib digunakan dalam majlis Umno
yang dikatakan menjadi tumpuan umum.

Apakah ini akan menyebabkan serangan dan sindiran persidangan Umno lebih lembut? Saya fikir tidak kerana beberapa sebab.

Pertama, kerana pengaruh dan faktor Tun Mahathir
dalam mengesani PRU ke-14 tidak boleh dinafikan. Justeru, nantikan
serangan terhadap “orang itu” seperti yang selalu digelar oleh Datuk
Seri Najib ke atas Tun Mahathir. Dalam ucapan dasar Datuk Seri Najib
tahun lalu, beliau menyifatkan Tun Mahathir sebagai menderhaka kepada
Umno, bangsa dan tanah air, malah memiliki tanda-tanda sifat
kemunafikan.

Rumusan dan syor oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai
Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing (Forex) Bank Negara Malaysia pada
1990-an sudah tentu juga akan digunakan sebagai modal.

Walaupun siasatan polis belum bermula namun kaitan antara Tun
Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kemungkinan berlaku pecah
amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan agak terlalu “meleleh” untuk
dilepaskan begitu sahaja oleh Najib.

Masa pembentangan laporan RCI itu pada hari terakhir Parlimen (tanpa
tempoh perbahasan yang munasabah) dan beberapa hari sebelum persidangan
Umno agak mencurigakan.

Kedua, kerana sentimen bangsa dan agama kepada orang
Melayu agak mendalam maka serangan ke atas DAP kononnya sebagai
pengkhianat negara dan penghakis kuasa melayu, bumiputera dan Islam akan
terus diapi-apikan, sambil DAP dipotretkan sebagai parti tunjang kepada
Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tahun lalu, Datuk Seri Najib melagakan antara keindukan kerajaan
pimpinan Umno dan keindukan kerajaan pimpinan DAP dalam pemilihan oleh
rakyat untuk PRU ke-14.

Beliau memberi gambaran sekiranya negara jatuh ke tangan DAP,
pastinya hak dan keistimewaan yang diperjuang serta dipertahankan oleh
Umno selama ini, termasuk Institusi-institusi bumiputera antaranya PNB,
MARA, Felda, Risda, Felcra dan TERAJU akan pupus dan lenyap.

Harapan rapuh

Ketiga, kerana sentimen agama juga kuat di kalangan
orang Melayu maka serangan akan dibuat ke atas pembangkang sebagai
penyebar pelbagai fitnah dan tohmahan yang merosakkan konsep wasatiyah
atau kesederhanaan yang ditekan oleh parti pemerintah.

Parti pembangkang akan dituduh pengancam keamanan dan perpaduan melalui penyebaran berita palsu dan politik kebencian.

Dalam pada itu, parti PAS tidak akan diserang. PAS akan tetap
dianggap sebagai parti sahabat walaupun hubungan antara PAS dan Umno
masih samar selain usul persendirian RUU355 tertangguh hingga sekarang.

Dalam ucapan tahun lalu, Datuk Seri Najib meminta supaya isu RUU355
tidak dipolitikkan kerana ia adalah satu usul persendirian yang
kemudiannya akan diambil alih oleh kerajaan persekutuan. (Baca: Orang
lain tidak boleh politikkan tetapi Umno BN boleh).

Keempat, saya percaya serangan dan sindiran
persidangan Umno tidak akan lembut kerana kekuatan HARAPAN boleh
menggagalkan kemenangan BN dalam PRU-14.

Serangan bahawa HARAPAN rapuh dengan kepimpinan tidak menentu selain
masalah pendaftaran sudah barang pasti akan dilakukan. Masalah dalaman
kepimpinan Umno dan dakwaan rasuah ke atas pimpinan dan anggota Umno
tidak akan disentuh.

Kelima, antara sebab yang paling utama mengapa
serangan Umno akan lebih keras ialah kerana Najib dan Umno mahu menutup
skandal 1MDB dan kepincangan tadbir urus ekonomi.

Lantang dan keras ke
atas pembangkang tapi pendamkan pekung sendiri. “Kejayaan” lawatan kerja
Najib ke Amerika Syarikat akan dizahirkan sebagai bukti semuanya
terkawal.

Tahun lalu, Najib hanya menyentuh perkataan 1MDB sekali sahaja dalam
ucapannya. Itu pun katanya, sebahagian besar isu sudah dijawab dengan
jelas. Menurutnya, adalah lebih mustahak untuk beliau tumpu kepada
memajukan ekonomi dan pembangunan negara.

Dengan kata lain, skandal 1MDB yang bernilai puluhan bilion ringgit itu tidak penting kepada beliau.

Persoalannya ialah apakah modal dan skrip yang sama ini akan
berulang? Pada pendapat saya, kemungkinan besar ia akan berulang. Jika
berulang, ia akan umpama rekod buruk dan tiada yang menarik.

Ucapan berbeza

Saya tidak mahu mendahului penilaian oleh rakyat tetapi saya percaya
rakyat sudah lebih memahami bahawa masalah yang dihadapi negara dan
rakyat bukannya datang dari pembangkang atau mereka yang keluar parti,
letak jawatan atau dipecat.

Siapa yang bertanggungjawab dengan skandal 1MDB jika tidak
penasihatnya? Siapa yang tambah hutang negara dan beban rakyat untuk
tutup hutang dan ‘jual negara’ kepada China?

Rakyat juga lebih mengetahui bahawa masalah dengan institusi
bumiputera bukannya berpunca daripada DAP atau pembangkang tetapi dengan
tadbir urus oleh Umno BN sendiri.

Siapa yang samseng burukkan nama Melayu? Siapa yang potong biasiswa
dan pinjaman pelajar?

Adakah Melayu hancur di Selangor, Pulau Pinang dan
Kelantan yang Umno tidak perintah?

Jika Umno pejuang Islam dan wasatiyah, siapa yang songlap dana 1MDB
masuk akaun peribadi?

Siapa yang porak peranda kefahaman tentang syariah
bila tidak ambil tanggungjawab penjelasan awal tentang RUU 355? Siapa
yang membiarkan budaya ganas, samseng dan zalim menular?

Jika Umno pejuang rakyat dan negara, siapa yang guna cukai GST yang
bebankan rakyat? Siapa yang potong subsidi barangan termasuk minyak
petrol, elektrik, tol, beras, gula dan minyak masak? Siapa yang bawa
masuk ramai pekerja asing dan tutup peluang pekerjaan buat rakyat?

Oleh itu, apakah kita akan melihat ucapan yang berbeza kali ini daripada Najib?

Menurut laporan Bernama pada 3 Disember lalu, peringkat akar
umbi Umno lebih tertarik untuk mendengar bagaimana Najib menangani
naratif negatif tentang beliau dan pentadbirannya berhubung isu-isu
seperti 1MDB, GST, kedaulatan Malaysia dalam hubungan pelaburan asing
serta dakwaan salah urus ekonomi negara ini.

Pembaca yakinkah Najib akan menjawabnya? Saya yakin tidak. Menjawab
dengan terus-terang tentang isu 1MDB contohnya, seolah-olah seperti
membunuh diri. Itu bukan mantera beliau untuk menyelamatkan dirinya dan
Umno BN daripada kekalahan dalam PRU-14.


Syed Ibrahim Syed Noh merupakan Ketua Penerangan PKR.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: