December 14, 2017
You can use WP menu builder to build menus



SERI ISKANDAR: Pembelajaran sepanjang hayat merupakan trend khusus yang bertepatan dengan peningkatan pengiktirafan bahawa lanjutan pembelajaran, latihan dan kemahiran, diperlukan dalam dunia yang semakin berubah dan tidak menentu, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, terdapat beberapa inisiatif penting di dalam perlaksanaan tersebut di Malaysia, yang melibatkan usaha untuk mengenalpasti pengalaman seorang pelajar serta kaedah penilaian selain bidang peperiksaan semata-mata.

Titah Baginda, penambahbaikan hubungan di antara pengajian tinggi dan industri turut menyumbang kepada keberkesanan subjek yang disampaikan di samping mengalakkan akses kepada pengajian tinggi melebihi demografi dikuasai era muda pada hari ini.

Titahnya, negara lain turut meletakkan pelaburan besar dalam aspek lanjutan pembelajaran dan pendidikan golongan dewasa seperti Singapura yang menubuhkan institusi Skills Future.

Institusi itu bermatlamat membimbing rakyat tempatan dari segenap peringkat kerjaya menuju ke pendidikan yang difokuskan, serta program berkemahiran, malah mempunyai jalinan erat dengan badan industri.

“Evolusi lanjut untuk perubahan kepada ekosistem pendidikan secara tradisional ini akan memerlukan pertukaran polisi berkaitan serta inovasi. Kini, kita sedang merangka polisi yang lebih komprehensif untuk mengendalikan isu-isu yang penting ini selaras dalam konteks Malaysia Higher Education (MyHE) 4.0.

“Untuk mencapai perubahan radikal yang diperlukan, adalah penting untuk memupuk pendekatan yang berteraskan keusahawanan terhadap pengajian tinggi berbanding yang sedia ada kini.

“Terdapat beberapa risiko yang dikaitkan dengan strategi ini dengan cabaran ketegangan asas di antara misi umum pendidikan serta motif berteraskan keuntungan yang menggerakkan sektor swasta.

“Namun, adalah perlu kini untuk membawa tindakan berisiko dan semangat keusahawanan ini ke tugasan mencabar dalam pembaharuan pendidikan ini,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam Titah Diraja pada program ‘Building A Dynamic and Inclusive Education Ecosystem’ yang didadakan sempena ulangtahun ke-20 Universiti Teknologi Petronas (UTP), di Dewan Canselor UTP di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Titah Baginda, seperti yang kini berlaku di Malaysia pada hari ini, pelbagai langkah diambil di pelbagai tempat untuk memperkenalkan pendekatan inovatif yang lebih sesuai dan bertepatan dengan perubahan masa.

“Ini merangkumi kaedah pengajaran baharu yang lebih berpusat kepada pelajar, berbanding masa lampau, termasuk perubahan kepada kurikulum dan kaedah penilaian,” tambahnya.

Sultan Nazrin menegaskan, negara mesti melaksanakan pendekatan tersebut ke atas sektor pengajian tinggi bagi memastikan ia mencukupi secara dinamik dan inklusif untuk berkembang dalam dunia yang tidak dapat diramal serta pantas berubah.

Baginda juga mengingatkan, untuk mencapai matlamat asas dalam mengecapi pengiktirafan dan kecemerlangan bertaraf antarabangsa, Malaysia bukan sahaja perlu seiring dengan trend progresif terkini di dalam pengajian tinggi malah bergerak selangkah di hadapannya.

Titahnya, kesemua ini adalah cabaran untuk mentransformasikan sistem sedia ada agar ia dapat memainkan peranan untuk mendidik generasi masa depan secara lebih efektif.

“Pendekatan baharu kepada pengajian tinggi mendedahkan bahawa pelajar hari ini perlu menguasai kemahiran memproses informasi dan pengetahuan.

“Dalam era Internet dan Google, penyebaran informasi bukan lagi merupakan matlamat sebenar dalam pendidikan. Sebaliknya, pelajar perlu mengembangkan kemampuan untuk belajar dan mempersoalkan dan mengkritik sumber informasi yang sedia ada.

“Mereka (pelajar) perlu membuat kesimpulan sendiri daripadanya, bukan sekadar mengulangi kebijaksanaan yang diterima atau pandangan yang pernah dikemukakan.

“Hanya melalui persoalan yang dikemukakan, kita dapat merangka penyelesaian kepada pelbagai cabaran yang kita hadapi,” titah Baginda.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: