December 12, 2017
You can use WP menu builder to build menus



MAURICIO Pochettino mengesahkan dia akan merombak Tottenham Hotspur untuk perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang APOEL, awal pagi esok, dengan memberi peluang kepada pemain muda untuk menyinar.

Tottenham sudah melayakkan diri sebagai pemenang Kumpulan H selepas memungut 13 mata daripada lima perlawanan, yang secara tidak langsung membolehkan Pochettino membuat percaturan berbeza.

Dengan Tottenham hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir mereka, Pochettino mendedahkan Luke Amos dan Kazaiah Sterling antara pemain yang akan terlibat menentang pasukan Cyprus terbabit, yang pintu kemaraan mereka sudah tertutup, namun masih layak bersaing dengan Borussia Dortmund untuk tempat ketiga.

“Dele (Alli) akan bermula,” katanya. “Kami akan merehatkan beberapa pemain, merombak kesebelasan utama tetapi Dele akan bermain. Dia terlepas tiga perlawanan UCL terdahulu akibat penggantungan, dia perlu bermain.

“Kazaiah dan Luke Amos, mereka bekerja dengan sangat baik dan mereka berkelakuan baik, sebab itu mereka berhak, mereka mempunyai kualiti serta kedudukan yang kami cari untuk membantu pasukan, esok.

“Kami memerlukan pemain tengah seperti Luke Amos dan penyerang seperti Kazaiah Sterling,” katanya.

Persembahan terbaik Alli musim ini hadir dalam UCL yang menyaksikan pemain antarabangsa England itu menyumbat gol ke atas Real Madrid dan membintangi kemenangan 2-1 di Dortmund.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Ogos lalu setelah menghasilkan 18 gol liga pada musim lepas dan Alli mengakui dia sepatutnya tampil lebih baik dalam aksi domestik, baru-baru ini.

“Saya fikir saya adalah pengkritik diri sendiri,” kata Alli. “Saya mahu beraksi baik dalam setiap perlawanan dan jika tidak tampil baik, adalah penting untuk saya bekerja keras dan berusaha setiap hari untuk belajar dan memperbaiki diri sebagai pemain.

“Jelas sekali, saya ingin berada di peringkat tertinggi dalam setiap perlawanan dan setiap sesi latihan tetapi saya tidak fikir ia suatu kemungkinan.

“Jadi, saya fikir ia adalah satu peluang yang baik buat saya memahami lebih lanjut tentang diri sendiri sebagai seorang pemain dan manusia, jadi saya bersabar dan saya perlu terus menikmatinya.

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa apabila pasukan agak hambar, tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Kami mempunyai pasukan, pengurus dan kakitangan yang hebat, jadi kami tidak sabar untuk beraksi dan meneruskan perjuangan.”



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: