February 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mengesahkan tempat ke separuh akhir Siri Super Akhir Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu selepas mendahului Kumpulan A.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan berlangsung di Kompleks Sukan Hamdan pada Jumaat, Chong Wei bagaimanapun tewas kepada pemain Korea Selatan, Son Wan Ho 21-13, 20-22, 15-21 dalam perlawanan berlanjutan selama satu jam 15 minit.

Namun, berdasarkan perbezaan kiraan mata lebih berpihak kepada pemain di ranking kedua dunia itu, selepas pemain Korea Selatan tersebut tewas kepada Angus Ng Ka Long dari Hong Kong 21-15, 13-21, 21-16.

Pemain berusia 35 tahun itu berjaya menebus kekecewaan tahun lepas apabila gagal melepasi pusingan awal, sekali gus menepati sasaran mara ke separuh akhir untuk edisi kali ini.

Untuk rekod, Chong Wei sudah empat kali menjuarai Siri Super Akhir bermula pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Selaku juara Kumpulan A, Chong Wei akan berdepan naib juara Kumpulan B yang menyaksikan perebutan tempat sebagai juara dan naib juara antara pemain China Shi Yuqi dan Viktor Axelsen dari Denmark.

Yuqi, bagaimanapun dilihat mempunyai kelebihan selepas merekodkan dua kemenangan dan dijangka menang perlawanan ketiga menentang pemain India, K. Srikanth.

Perlawanan separuh akhir dijadual berlangsung Sabtu.

Sementara itu, wakil negara dalam acara beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menutup tirai saingan peringkat Kumpulan B tanpa sebarang kemenangan apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut.

Pada perlawanan terakhir, gandingan negara itu tewas di tangan pasangan England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock 13-21, 16-21.

Dalam dua aksi terdahulu, Kian Meng-Pei Jing tewas kepada beregu China, Wang Yilyu-Huang Dongping dan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, sekali gus menyaksikan mereka menamatkan saingan Kumpulan B di tangga tercorot. — Bernama



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: