February 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus


SHAH ALAM: Sikap mendiamkan diri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berhubung isu Bugis membabitkan Sultan Selangor terus dipersoal, kali ini giliran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Ujar Muhammad beliau tidak faham mengapa Azmin memilih pendekatan berdiam diri walaupun Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah dua kali membangkitkan isu yang sama dalam tempoh sebulan.

“Saya tak faham dengan sikap MB selangor sebab ada dua insiden yang agak jelas, tapi MB Selangor macam tak ada pendirian.

“Sepatutnya MB kena ke depan pertahankan raja. Itu sikap hulubalang. Bila dia diamkan diri, orang berfikir kenapa dia diamkan diri? Dia tak tunjukkan dia ni pahlawan. Dia tak jaga adat istiadat kita,” tegas Muhammad ketika ditemubual secara eksklusif oleh Antarapos.

Sultan Sharafuddin pada November menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamd mempersendakan bangsa Bugis ketika menyampaikan ceramah politik pada Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, Oktober lalu.

Sebulan kemudian, menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Yang Ke- 72, baginda sekali lagi menegur Dr Mahathir akan isu yang sama.

Malah baginda bertitah, Dr Mahathir dalam keadaan marah dan akan membakar seluruh negara dengan api kemarahannya.

Baginda juga bimbang pihak tertentu kerap menggunakan isu-isu sensitif untuk agenda politik sempit mereka, yang kemudiannya akan mengancam ketenteraman serta keharmonian yang dikecap negara kini.

Teguran kali kedua itu menyaksikan Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bertindak memulangkan semula dua Darjah Kebesaran yang masing-masing terima daripada Sultan Selangor.

Mengulas perkara itu, Muhammad berkata isu pemulangan pingat itu tidak sepatutnya dipanjangkan.

“Bila dia (Dr Mahathir) kecil hati dia akan merajuk dan pulangkan balik (pingat). Saya fikir, biarlah setakat itu saja. Jangan panjangkan,” katanya.

Tindakan Dr Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran itu dilihat banyak pihak sebagai satu penghinaan kepada institusi kesultanan.

Malah terdapat juga gesaan agar Dr Mahathir memulangkan kesemua Darjah Kebesaran yang diterimanya daripada Sultan atau Raja di negara ini.

Muhammad juga berkata, bukan hanya rakyat malah Sultan Sharafuddin sendiri sedang memerhati usaha Azmin menjaga kemuliaan intstitusi kesultanan Selangor.

“Susah sebagai MB yang tiada pendirian, tidak mempertahankan raja di Selangor.

“Bila MB tunjukkan sikap yang tidak menentu, kemungkinan baginda tuanku ada fikiran sendiri. Wallahua’lam, kita pun tak tahu apa ada dalam pemikiran tuanku,” ujarnya lagi.

Azmin dilantik menjadi Menteri Besar Selangor pada 2014 selepas bekas penyandangnya Tan Sri Khalid Ibrahim digulingkan partinya (PKR) sendiri, kononnya kerap membelakangkan parti – AP



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: