February 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus



Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah
mendedahkan sebahagian bekalan ubat dan prosedur ujian kesihatan yang
wujud di hospital kerajaan sebelum ini sudah tidak lagi disediakan.

Menurutnya, keadaan itu berlaku ekoran pemotongan dana Kementerian
Kesihatan serta akibat salah urus tadbir kerajaan dengan kes paling
ketara penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Ir Amiruddin Hamzah



“Ada ujian kesihatan di hospital kerajaan sekarang tidak buat dah.
Riuh dalam sidang dewan negeri (Kedah) baru-baru ini. Hakikatnya,
sebahagian ujian yang biasa dibuat di hospital kerajaan sudah tiada
sekarang.

“Mereka tidak diberikan bekalan yang cukup untuk membuat ujian
tersebut,” jelasnya dalam program Ghebang Santai anjuran Bersatu Kubang
Pasu, Kedah, semalam.

Bekas pemimpin Pas itu berkata, pihak hospital turut mengakui
wujudnya masalah kekurangan bekalan ubat seperti dimaklumkan kepadanya
oleh doktor sendiri ketika pemeriksaan berkala yang dibuat baru-baru
ini.

“Saya sendiri enam bulan sekali jumpa doktor, periksa kesihatan, buat
ujian darah. Banyak (bekalan) ubat sekarang ini, sebahagian saja
diberi.

“Nak ambil ubat di Jabatan Farmasi, sebahagiannya lagi kena beli
sendiri,” ceritanya di perkarangan rumah seorang penduduk Kampung
Chenghai, Changloon.

Beliau berkata, walaupun pihak kerajaan Umno-BN menafikan kesan
pemotongan peruntukan bagi sektor kesihatan tetapi bahana tindakan itu
dapat dilihat pada janji pembinaan hospital yang masih belum ditepati.

“Dua malam (pesakit) duduk di zon kuning, merah di Hospital Sultanah
Bahiyah (di Alor Setar). Nak naik di atas (wad) tiada katil kosong.

“Janji nak bina Hospital Pendang masa Pilihan Raya Kecil Anak Bukit
dan Pendang ketika arwah Ustaz Fadzil dulu meninggal dunia tahun 2002,
sampai sekarang tidak naik lagi.

“Tuanku (Sultan Kedah) pun tegur dua kali dalam dewan (sidang
rakyat). Duit tidak ada. Duit digunakan untuk selesaikan hutang,”
ujarnya lagi yang mengumumkan permohonan menjadi ahli Bersatu pada 26
November lalu.

Bukan sahaja sektor kesihatan terjejas, Amiruddin memberitahu Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai agensi yang dikatakan agensi ketiga
paling banyak memberi hasil kepada kerajaan turut menerima tempias sama.

“Nombor satu, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), dok ligan buka fail 12, 15 tahun lepas nak cari duit tampung pendapatan negara.

“Bila ada, habis ke lain. Kedua, Jabatan Kastam yang kutip GST (cukai
barang dan perkhidmatan) dan ketiga JPJ walaupun duduk di bawah
Kementerian Pengangkutan.

“Pegawai JPJ sendiri cerita pada saya, ada ketikanya pegawai di
kaunter, nak cetak pun, ‘catridge’ pencetak terpaksa diusung bertukar
tangan dari satu kaunter ke kaunter yang lain,” dedahnya.

Sehubungan itu, Amiruddin menegaskan semua situasi itu berlaku akibat
salah guna 1MDB yang digelarnya sebagai “ibu segala masalah” di negara
ini selain timbunan kes rasuah.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: