February 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUCHING: Tiga tahun lalu kanak-kanak ini menjalani pembedahan untuk merawat penyakit jantung berlubang yang dihidapinya dan bulan lepas Siti Nur Intan Hidayah Azhar, 9, membuktikan bergelar bekas pesakit jantung bukan halangan untuknya melakukan aktiviti lasak.

Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Sungai Gau, Temerloh, Pahang itu boleh berbangga kerana menjadi antara pendaki yang menawan Gunung Santubong di sini yang terkenal dalam kalangan peminat sukan tersebut sebagai antara gunung yang mencabar.

Ditemani ibu bapanya Azhar Ahmad, 49, dan Siti Hawa Abdul Latiff, 45, anak bongsu daripada lima beradik itu menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menguasai gunung berketinggian 810 meter dari aras laut tersebut.

“Ayah dan ibu membawa saya mengikuti misi pendakian ini setelah doktor yang merawat saya di Institut Jantung Negara mengesahkan saya boleh melakukan aktiviti lasak,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya pendakian itu adalah yang pertama baginya dan dilakukan tanpa persediaan rapi.

Siti Nur Intan Hidayah adalah antara 28 peserta dari Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang yang mengikuti misi pendakian ke gunung legenda itu baru-baru ini serta merupakan satu-satunya pendaki kanak-kanak dalam kumpulan berkenaan.

Menceritakan pengalamannya semasa sampai ke puncak, Siti Nur Intan Hidayah berkata ia satu pengalaman yang sukar dilupakan terutama apabila terpaksa memanjat tangga tali pada dinding batu menegak.

“Saya menangis apabila berjaya sampai di puncak kerana tidak menyangka mampu berbuat demikian. Saya hampir berputus asa kerana terasa sangat penat, namun atas sokongan dan bantuan peserta lain, saya kuatkan semangat untuk terus mendaki,” katanya yang berhasrat meneruskan kegiatan itu.

Terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Kuching, Gunung Santubong merupakan antara destinasi popular dan wajib bagi pendaki.

Ini kerana walaupun ketinggiannya hanya 810 meter, pendaki perlu berdepan dengan trek yang mencabar termasuk memanjat tangga tali dalam keadaan menegak serta mampu menimbulkan rasa gayat bagi yang lemah semangat.

“Gunung Santubong ini memang lebih rendah berbanding gunung-gunung lain di Semenanjung Malaysia namun keadaan pendakian yang mencabar menuntut kekuatan mental dan fizikal yang tinggi,” kata ketua misi pendakian itu Mohd Faizal Muda.

Ini kerana katanya selain mendaki dalam keadaan menegak, kedudukan satu anak tangga dengan anak tangga lain yang berjarak dua hingga tiga kaki menuntut kekuatan fizikal pendaki.

Bagaimanapun katanya pemandangan indah di puncak gunung itu merupakan ganjaran yang sukar diperoleh di tempat lain menjadikan Gunung Santubong tumpuan peminat aktiviti lasak tersebut.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: