February 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUALA LUMPUR: ‘Never Was The Shade’, sebuah karya Lim Kean Hian, cemerlang apabila muncul pemenang Hadiah Utama dalam pertandingan filem pendek BMW Shorties 2017.

Kemenangan turut membawa pulang hadiah berupa geran produksi sebanyak RM75,000 daripada Kumpulan BMW Malaysia, beserta panduan dan bimbingan daripada panel juri pertandingan tersebut untuk menerbitkan filem pendek beliau yang seterusnya secara profesional.

BMW Shorties yang kini memasuki tahun ke-11, menerima sebanyak 90 penyertaan filem pendek, di mana sembilan buah filem telah disenaraipendek untuk dipertandingkan pada tahun ini.

Filem pendek yang muncul sebagai pemenang tahun ini – ‘Never Was The Shade yang berlatarkan malam yang hening dan tenang di sebuah hospital, mengisahkan dua beradik tiri yang menganut agama berbeza  bertelingkah di pengkebumian ayah mereka.

Menerusi dialog yang diolah dengan begitu baik dan lakonan yang mengesankan oleh para pelakon, Pengarah Lim Kean Hian berjaya menyampaikan hakikat terpendam mengenai percanggahan yang wujud di antara hubungan sesama manusia dan agama yang berbeza dengan berkesan.

Bercakap di majlis anugerah tersebut, Lim Kean Hian berkata, “Saya berasa rendah hati dan teruja kerana memenangi Hadiah Utama dengan percubaan pertama saya dalam BMW Shorties. Pada masa yang sama, saya juga bersyukur kerana pasukan saya mempunyai keyakinan terhadap wawasan saya bagi ‘Never Was The Shade’, dan telah bekerjasama dengan saya untuk menjayakan penyampaian mengenai ketaatan menurut pegangan yang berbeza dalam dunia hari ini. Semasa tema ‘Vision’ diumumkan, kami memutuskan untuk menghasilkan filem pendek yang menggambarkan konsep wawasan yang berbeza yang menuju ke satu jalan yang menjurus kepada asas hubungan kekeluargaan – cabaran yang dihadapi dengan pendapat dan pegangan yang berbeza antara dua beradik.”

Dalam penerangannya mengenai latar dan idea di sebalik ‘Never Was The Shade’, Lim menjelaskan bahawa walaupun dihubungkan oleh pertalian darah, ada kalanya adik-beradik mungkin tidak akan sependapat. “Ini adalah kejadian yang sering berlaku dalam kebanyakan keluarga, terutamanya bila adanya individu yang mempunyai idea dan pemikiran yang bercanggah. Dalam situasi sebegini, lazimnya satu-satunya cara untuk melangkah ke depan  adalah melalui persefahaman dan toleransi untuk melepasi segala kemungkinan,” tambahnya.

“Kami nampak sebuah kisah di sini, dan ingin menghidupkan beberapa cabaran kekeluargaan yang sering disembunyikan dari pandangan umum. Perkara yang paling penting yang ingin kami ketengahkan menerusi ‘Never Was The Shade’ ialah kesepakatan – perkara yang mengikat sesebuah keluarga, tanpa mengira perbezaan yang wujud,” kata Lim.

Skrip dan ketajaman sinematografi filem pendek tersebut membangkitkan emosi yang bercampur-baur dan logik yang membawa kesan berpanjangan di kalangan para juri pada tahun ini.

Salah seorang juri, penerbit kreatif dan pemenang anugerah Nandita Solomon, berkata, “Reka bentuk produksi yang minimalistik bagi ‘Never Was The Shade’ adalah mengagumkan bagi sebuah filem pendek yang diterbitkan dengan peruntukan belanja yang rendah, dan menerusi sebuah prop tunggal, ia dapat mengolah perincian halus yang berkembang menjadi pelbagai lapisan cerita dan motif untuk menghidupkan kisah tersebut.”

Ho Yuhang, yang tidak asing lagi di arena perfileman Malaysia dan salah seorang daripada par ajuri BMW Shorties 2017 berkata, “Never Was the Shade merupakan sebuah filem yang ditetapkan dalam tempoh masa yang boleh dibatasi untuk tema yang bercita-cita tinggi. Walau bagaimanapun, keamatan lakonan dan atmosfera kuat dirasai kerana sinematografi dan penyuntingan yang hebat dapat mengatasi detik-detik. Skrip, walaupun didaktik pada masa ke semasa, lengkap dalam reka bentuk dan mempunyai unsur ketulenan”

Nadira Ilana, pembikin filem yang menyertai panel pengadil BMW Shorties tahun ini buat kali kedua berkata, “‘Never Was The Shade’ adalah jenis filem pendek yang diharapkan untuk dicungkil dalam pertandingan seumpama ini. Ia mempunyai tenaga dan persembahan yang mengagumkan dalam cubaannya untuk menggarap kebimbangan anak muda di Malaysia. Kean Hian meminjam (idea) daripada karya amatur filem lain, tetapi dalam menghasilkan suaranya yang tersendiri, saya harap beliau akan mengekalkan semangatnya yang berani dan saya menantikan pendekatannya ke arah tema tempatan yang lebih berani dan lantang.”

Sementara itu, pelakon, penulis dan juri, Redza Minhat menyatakan, “Inti pati cerita tersebut terkandung dalam penulisannya. Walaupun ianya topik yang sensitif, pengarah telah menceritakan kisahnya dengan begitu baik sekali supaya meninggalkan kesan yang mendalam dalam kalangan penonton.”

Mengulas mengenai tanggapan keseluruhan bagi ‘Never Was The Shade’, pembikin filem bebas dan juri, Tan Chui Mui berkata, “‘Never Was The Shade’ mempunyai semua ciri untuk sesebuah filem pendek memenangi anugerah. Ia mempunyai lakonan dan sinematografi yang mengesankan, reka bentuk produksi yang teliti, dan yang paling utama, cerita yang berkesan. Semua ini dicapai hanya dengan dua orang pelakon, satu lokasi dan peruntukan belanja yang ketat. Saya angkat topi kepada pengarah ini!”

Selain daripada Hadiah Utama yang dimenanginya, ‘Never Was The Shade’ turut membawa pulang anugerah bagi Pelakon Terbaik, Lakon Layar Terbaik, dan Suntingan Terbaik.

Bercakap di Malam Anugerah tersebut, En. Han Sang Yun, Pengarah Urusan dan CEO  Kumpulan BMW Malaysia berkata, “BMW Shorties yang telah sekian lama diadakan ini mempunyai satu misi: untuk memberi sokongan kepada pembikin filem tempatan dan menyediakan platform bagi bakat-bakat tersebut mempersembahkan karya seni mereka. Tahun ini, kami juga memperkenalkan BMW Shorties Festival yang julung kali diadakan, untuk memperkukuhkan komitmen kami terhadap pembuatan filem. Malam ini, dengan Festival dan muka-muka yang berbakat ini, wawasan BMW Malaysia direalisasikan, dan kami berbesar hati kerana dapat turut serta dalam perjalanan ini untuk membolehkan pembikin filem di Malaysia merealisasikan minat mereka. Harapan kami ialah untuk membina platform yang lebih kukuh pada tahun-tahun yang akan datang.”


Senarai penuh para pemenang anugerah BMW Shorties 2017 adalah:

Hadiah Utama
‘Never Was The Shade’ oleh Lim Kean Hian

Anugerah Pilihan Ramai
‘Gold! There’s gold in the river’ oleh Mallory Lee

Anugerah Pengarah Terbaik
New Chun Hui untuk ‘After Tango’

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik
Steve Yap dalam ‘Never Was The Shade’

Anugerah Pelakon Wanita Terbaik
Ameera Ramlee dalam ‘Selam 2.0’

Anugerah Sinematografi Terbaik
Khairil M Bahar untuk ‘Selam 2.0’

Anugerah Suntingan Terbaik
Wong Kai Yun untuk ‘Never Was The Shade’

Anugerah Lakon Layar Terbaik
Lim Kean Hian & Rozie Rashid untuk ‘Never Was The Shade’

Anugerah Penataan Bunyi Terbaik
Ashwin Gobinath untuk ‘Selam 2.0’

Anugerah Reka Bentuk Produksi Terbaik
Mohd Rabani Abdul Hamid untuk ‘Selam 2.0’



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: