February 20, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR
— Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman
penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati
bersalah atas tiga pertuduhan memberi sokongan terhadap aktiviti
pengganas, tahun lalu.

Hakim
Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mustaza Abdul
Rahman, 30, bapa kepada seorang anak itu selepas mendapati pihak
pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Sejurus
mahkamah menjatuhkan hukuman, anggota keluarga tertuduh dilihat menangis
manakala isterinya meraung sambil memeluk tertuduh manakala Mustaza
kelihatan tenang semasa dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Hakim
Nordin dalam penghakimannya berkata, tertuduh menafikan ketiga-tiga
pertuduhan dengan mengatakan dia telah kehilangan dua buah telefon
bimbitnya dan mendakwa kad sim telefon itu diceroboh oleh individu lain
yang menggunakan identitinya dan menyertai kumpulan pengganas.

“Tiada
keterangan yang menunjukkan bahawa fakta penting ini (kehilangan telefon
bimbit) ada dimaklumkan pada pegawai penyiasat kes. Kegagalan tertuduh
(memaklumkan fakta penting itu) membolehkan kenyataan (pembelaannya)
diketepikan.

“Tiada
laporan polis dibuat (berhubung kehilangan telefon). Isteri (tertuduh)
juga tidak menyatakan tertuduh kehilangan telefonnya dan tidak ditanya
peguam (ketika perbicaraan),” katanya sambil menambah tertuduh merupakan
seorang anggota polis yang sewajarnya menjaga keamanan negara namun
telah mengetepikan amanah itu.

Hakim
Nordin menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun bagi
pertuduhan pertama dan ketiga manakala penjara tujuh tahun bagi
pertuduhan kedua dan memerintahkan tertuduh menjalani kesemua hukuman
itu secara serentak bermula 29 Jun 2016.

Sebanyak
13 saksi pihak pendakwaan dan empat saksi pihak pembelaan memberi
keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 18 April 2017.

Peguam
Farida Mohammad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan
mengambil kira tertuduh telah ditahan di penjara selama setahun setengah
sehingga perbicaraan selesai manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamad
Mustaffa P. Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Bagi
pertuduhan pertama, Mustaza yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, didakwa telah memberi sokongan
kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan
letupan.

Perbuatan
itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi
dan boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di
Malaysia melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan ‘amanah’
dalam telefon bimbitnya.

Dia
dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh
dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk
digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Bagi
pertuduhan kedua, Mustaza didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa
maklumat berkenaan dengan kesalahan-kesalahan berkaitan pengganas
mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara
hingga tujuh tahun atau dengan denda.

Dia juga
didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara
melakukan sumpah setia (berbai’ah) melalui aplikasi Telegram dalam
kumpulan perbualan ‘gagak hitam’ dalam telefon bimbitnya (tertuduh)
mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Kesemua
kesalahan itu dilakukan di G7-1-1, Blok Iksora, Perumahan Polis IPD
Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah antara 30 Mac dan 29 Julai 2016.—
Bernama



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: