February 22, 2018
You can use WP menu builder to build menus


THE MALAYSIAN TIMES

 

SERDANG :
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti beberapa warga Bangladesh
dipercayai terlibat dengan sindiket yang memainkan peranan bagi
menguruskan penyeludupan buruh haram warga Bangladesh di negara
ini, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tanpa mendedahkan identiti suspek terlibat, Timbalan Ketua Polis
Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ia susulan penahanan beberapa
anggota sindiket berkenaan yang beroperasi di Bangladesh dan ibu negara
bagi membantu siasatan.

“PDRM membuat kajian mengenai kegiatan menyeludup warga asing dari
Bangladesh ini sejak setahun lepas difokuskan di KLIA, dan terdapat tiga
sindiket memainkan peranan masing-masing iaitu sindiket di Bangladesh
berperanan mengumpul rakyatnya di sana, manakala sindiket di KLIA
memudahkan cara mereka masuk serta satu lagi jadi penerima.

“Modus operandi sindiket itu, mereka akan menguruskan apa jua cara
untuk masuk ke negara ini termasuk berhubung dengan sindiket memudahkan
kemasukan mereka, beri rasuah dan sebagainya kerana mereka hanya akan
menghadapi masalah memasuki ke negara ini melalui pintu masuk,”
katanya
pada sidang akhbar Kejohanan  Endurance Tan Sri Khalid Abu Bakar di
Pusat Equine, Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata PDRM ketika ini sedang memantau kemasukan warga asing
di KLIA dan tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi dalang
sindiket berkenaan, selepas ini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan mendedahkan buruh haram warga
Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari, dan
diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Kuala Lumpur dan Dhaka,
Bangladesh.

Sindiket terbabit dikatakan mampu mendapat keuntungan RM5.2 juta
setahun dengan mengenakan bayaran antara RM15,000 dan RM20,000 setiap
seorang termasuk wang ‘pelincir’ kepada beberapa pihak berkuasa terutama
anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta Kedutaan Malaysia di Dhaka.

Dalam perkembangan lain, Noor Rashid berkata PDRM memandang serius berhubung kes kebakaran di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

“Oleh demikian, saya mengarahkan Ketua Polis Selangor untuk
menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes ini dengan lebih terperinci
antaranya melibatkan aspek mengumpul bukti di lokasi kejadian dan
membuat kajian ke atas latar belakang mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 5.50 pagi Rabu lepas, empat sekeluarga di Tanjung
Sepat, Kuala Langat dipercayai dibunuh sebelum dibakar di kediaman
mereka.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: