February 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus



AYER KEROH: Tiga lelaki, termasuk bapa saudara kepada seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang ditemui mati di Krubong, Melaka, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tuduhan membunuh remaja terbabit.

Sewaktu kejadian, mangsa, M Arunasalam, dikatakan di bawa ke bengkel berkenaan sebelum dipukul tiga lelaki terbabit kerana dituduh mencuri wang milik datuknya.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh iaitu J Visvanathan, 32 tahun, K Shanmuganathan, 35 tahun, dan N Thiagu, 38 tahun sejurus pertuduhan dibaca dalam Bahasa Tamil oleh Jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan perbuatan menyebabkan kematian terhadap Arunasalam, di sebuah bengkel membaiki lori di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka, sekitar 5 petang hingga 8 malam, pada 4 Dis lalu.

Kesemua tertuduh, yang merupakan pemandu lori, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Muhammad Azri Zakaria manakala hanya Shanmuganathan diwakili oleh peguam A Mathan.

Majistret Norina tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia lengkap.

Pada 15 Dis lepas, satu klip video yang tular di laman sosial, memaparkan beberapa individu memukul Arunasalam yang dalam keadaan tidak berbaju, menggunakan getah paip.

Mangsa, yang berasal dari Tangkak, Johor itu, dipercayai dibawa oleh suspek, termasuk bapa saudaranya yang berusia 32 tahun, ke sebuah bengkel sebelum dipukul.

Dua individu kemudian mendakwa menemui Arunasalam dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah stesen bas, dan kemudian menghantarnya ke Hospital Melaka.

Remaja itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas 30 minit diberi bantuan pernafasan oleh pegawai perubatan yang bertugas.



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: