February 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus



NILAI: Bapa kepada murid 11 tahun yang terlibat dalam kes Cikgu Azizan atau Azizan Manap, tidak muncul bagi memberikan kenyataan media hari ini.

Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu yang dihubungi wartawan malam semalam, berjanji untuk menjelaskan keadaan sebenar namun tidak muncul seperti yang dijanjikan.

Dia berjanji untuk mengadakan sidang media di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Nilai jam 10 pagi namun kelibatnya tidak kelihatan.

Seramai 21 wartawan, jurugambar dan jurukamera menunggunya selama lima jam seawal jam 8.30 pagi, sebelum beredar.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk, menghubungi dan mengirimkan mesej melalui aplikasi WhatsApp namun tidak dibalas.

Pada jam 12.30 tengah hari hanya satu panggilan dijawab lelaki itu dan memberitahu mahu berjumpa namun bayangnya tidak kelihatan.

Sementara itu, di Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengulas kes Cikgu Azizan berkata, ibu bapa dan guru harus saling memahami bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.

“Memang betul guru mahu mendidik anak murid, tetapi apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan dalam proses mendidik itu mesti ada garis panduannya.

“Begitu juga dengan ibu bapa, memang betul ibu bapa sayangkan anak-anak mereka tetapi kasihkan anak tangan-tangankan. Maka ibu bapa kena faham sementara guru pula tidak boleh melampaui batas.

“Kerana itulah persefahaman antara ibu bapa dan guru serta masyarakat sendiri sangat penting agar apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan, masing-masing akan faham,” katanya.

Mohamad turut menzahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku (kes Cikgu Azizan) dan menyifatkan sekiranya kes itu tidak ditarik balik Jabatan Peguam Negara, maka satu sejarah hitam akan terlakar apabila guru yang berperanan mendidik anak bangsa didakwa dan dihukum.  

Semalam, Mahkamah Majistret Seremban membebas tanpa melepaskan Cikgu Azizan yang merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak di sini, daripada pertuduhan mencederakan muridnya, Oktober lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman, membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pihak pendakwaan menerima arahan Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Cikgu Azizan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun di hadapan tapak perhimpunan sekolah terbabit pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

— BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: