February 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUALA LUMPUR: Juara bertahan, England merupakan antara enam pasukan yang mengesahkan penyertaan edisi ke-27 Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung pada 3-11 Mac 2018 di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Selain England yang berada di ranking ketujuh dunia, pasukan lain yang akan bertanding adalah pasukan ranking pertama dunia dan juara sembilan kali Australia, Argentina (ranking kedua), India (ranking keenam), Ireland (ranking ke-10) serta Malaysia yang berada pada ranking ke-12 dunia.

Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Terry Walsh percaya kehadiran lima pasukan berkenaan yang berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia mampu memberikan cabaran untuk skuad ‘Malaysian Tigers’ membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 di India, November depan.

“Berdasarkan kedudukan ranking enam pasukan yang bersaing, Malaysia merupakan pasukan yang berada di kedudukan keenam dan Piala Sultan Azlan Shah 2018 bakal menjadi medan menguji tahap kemampuan skuad kebangsaan selain ia dilihat bakal menjadi cabaran untuk mereka berusaha menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik,” Walsh dipetik sebagai berkata demikian menerusi laman KHM, www.mhc.org.my.

Mengulas lanjut, Walsh berkata kehadiran empat negara bukan dari benua Asia merupakan medan terbaik untuk skuad kendalian Stephen Van Huizen membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April depan.

Jurulatih kelahiran Australia itu pada masa sama turut berharap pemain kebangsaan mampu menampilkan aksi cemerlang pada kejohanan di Ipoh itu dalam usaha mereka memburu pingat emas Sukan Asia 2018 di Indonesia, sekali gus menempah tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Untuk rekod, Malaysia muncul naib juara sebanyak lima kali pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah iaitu pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014. — Bernama



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: