February 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus



KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi melaksanakan 114 projek tebatan banjir di seluruh negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sebanyak RM45.78 juta diperuntukkan tahun ini untuk melaksanakan 97 projek dengan 63 daripadanya dijadualkan siap menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

“Baki 51 projek lagi akan dimulakan awal tahun depan,” katanya pada sidang berita selepas menghadiri taklimat mengenai banjir di Sarawak yang disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Jaul Sameon di Bilik Operasi Bencana Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini, pada Khamis.

Agensi pelaksana projek berkenaan ialah majlis tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Abang Johari sambil memberitahu beliau telah diberi taklimat tentang pelaksanaannya oleh agensi berkenaan.

“Setakat 20 Dis tahun ini, daripada 97 projek itu, sebanyak 13 daripadanya telah disiapkan, 71 lagi di pelbagai peringkat pelaksanaan, lapan di peringkat penilaian tender dan lima di pelbagai peringkat prapelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata sebagai langkah jangka pendek, pihak berkuasa tempatan, JPS dan JKR akan diminta melakukan penyenggaraan berkala terhadap takungan salur masuk, membersihkan longkang erong, bahagian tepi jalan dan longkang utama serta membuang kelodak sungai terjejas dari semasa ke semasa.

“Sebagai langkah jangka sederhana pula, kerja menaik taraf saluran keluar longkang utama di kawasan Hospital Umum Sarawak, Jalan Batu Lintang, Padang Merdeka, Taman Malihah, Federal Quarters, SK Muara Tuang, Sungai Sinjan, Sungai Gersik dan kerja mengorek Sungai Tabuan melibatkan kos RM150 juta telah diluluskan.

“Ketika ini, projek berkenaan di peringkat penilaian tender,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri telah meluluskan pelaksanaan Manual Pengurusan Air Ribut Bandar Sarawak (SUStoM) bagi kawasan pembangunan baharu kerana pendekatan pembuangan pantas tidak lagi berkesan untuk menangani pembangunan semasa.

“Pendekatan ini menggunakan proses menahan/menakung, penyerapan dan penulenan. Kuantiti dan kuliti air ribut (air berasal daripada hujan) dari kawasan sedang dibangunkan dapat dikekalkan pada kadar kurang daripada atau sama banyak dengan keadaan prapembangunan,” katanya.

Abang Johari berkata di bawah SUStoM, pengurusan air ribut akan mempunyai pelbagai objektif hijau dan bebas bahaya dalam lingkungan bahagian hilir kawasan pembangunan termasuk mengawal banjir kilat.

Selain itu, ia mengurangkan kekerapan banjir termasuk banjir besar, meminimumkan kesan alam sekitar akibat pengaliran air berkualiti, memantapkan landskap dan ekologi bandar, menstabilkan muka bumi, mengawal hakisan dan menjamin keselamatan orang ramai.

Mengenai banjir di Sarawak baru-baru ini, beliau berkata antara puncanya adalah jumlah air hujan yang banyak, ketidakmampuan sistem saliran sedia ada menampung jumlah aliran air hujan terlalu banyak dan kehilangan tempat menakung air banjir akibat pembangunan yang meliputi dataran banjir serta koridor saliran.

“Sebagai contoh, di Kuching, sebanyak 171 milimeter hujan direkodkan pada 18 Dis 2017 sahaja. Kadar hujan yang tinggi juga direkodkan di Samarahan, Sri Aman, Betong, Miri, Bintulu, Sibu, Limbang dan Bahagian Mukah,” katanya.

Abang Johari berkata bahagian utara Sarawak dijangka mengalami jumlah hujan yang tinggi, berbading bahagian barat negeri ini.

“Bagaimanapun, kami berharap orang ramai sentiasa bersiap sedia dan berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi tentang keadaan cuaca melalui aplikasi MyCuaca.Com.

Menurutnya Jawatankuasa Bencana Negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi banjir termasuk menyediakan pusat pemindahan dan bekalan makanan untuk mangsa banjir.

–BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: