February 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus



TAIPING: Tiga ‘mat rempit’  mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemandu ambulans dan menghalang penjawat awam di Jalan Simpang Empat Semanggol, pada Ahad lepas.

Muhammad Norafrani Azmi,20, Abdul Aziz Md Desa,24, dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun membuat pengakuan itu setelah pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu dan dua bulan serta denda RM1,000 dan RM3,000 masing-masing ke atas Muhammad Norafrani dan Abdul Aziz manakala remaja itu ditawarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Norafrani dan Abdul Aziz didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan terhadap Shariff Ismail, 53, kira-kira 1.40 pagi di Jalan Simpang Empat Semanggol.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda RM2,000 atau penjara atau kedua-duanya.

Selain itu, Muhammad Nurafrani juga didakwa bersama-sama remaja itu menghalang seorang penjawat awam iaitu pemandu ambulans berkenaan daripada menjalankan tugas awamnya.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa Raya ASP Rosmaria Awang manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Biro Bantuan Guaman T. Selvadoray.

Dalam kejadian Ahad lepas, seorang pemandu ambulans cedera akibat ditumbuk di kening kanan selepas menegur sekumpulan ‘mat rempit’ yang berlumba di Plaza tol Taiping Utara, Kamunting.

Seorang jururawat yang menjaga pesakit di dalam ambulans belakang cuba membantu dan meleraikan kumpulan terbabit turut diterajang mereka. 

–BERNAMA



Source link

admin

Comments are closed.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: