January 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


 

 Kelemahan struktur pengurusan punca kemelut Felda, kata Shahrir

Kelemahan
struktur pengurusan adalah punca kemelut yang dihadapi oleh Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ketika ini, kata Pengerusinya, Tan
Sri Shahrir Samad.

Beliau bagaimanapun menegaskan, penstrukturan semula kumpulan
pengurusan di bawah Felda telah menunjukkan beberapa kemajuan dengan
setiap anak syarikatnya diketuai oleh pengerusi berbeza bagi memastikan
kelancaran operasi.

“Sejajar kedudukannya sebagai agensi kerajaan, Felda memiliki
pengerusi dan ahli Lembaga Pengarahnya sendiri. Pada masa sama, Felda
Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang merupakan sebuah entiti
perniagaan, juga mempunyai pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah yang
berbeza.

“Ini bagi mengelak sebarang kekeliruan dari segi pengagihan kerja,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan
Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa kemelut Felda adalah
disebabkan oleh salah laku dalam agensi berkenaan.

Johari dipetik sebagai berkata, isu seperti model perniagaan yang
salah, kelemahan pengurusan dan tadbir urus merupakan tiga punca utama
beberapa syarikat milik kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
mengalami masalah selain kegagalan mendapatkan bakat yang tepat dan
bersesuaian.
Namun, Shahrir sebaliknya berkata Felda dan anak syarikatnya tidak
berdepan kesukaran
mendapatkan khidmat bakat yang diperlukan kerana
mengambil mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

Selain itu, beliau turut menyambut baik pelaksanaan audit forensik ke
atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak di sini,
yang disifatkan beliau amat tepat bagi memastikan tidak wujud sebarang
masalah dalam agensi itu.

“Proses audit itu masih berjalan dan pasukan forensik terbabit akan
datang ke Felda minggu depan untuk meneruskan siasatan mereka,” katanya.

Pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melantik sebuah firma audit
luar untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek KLVC yang sedang
dibangunkan oleh Synergy Promenade Sdn Bhd.

Firma audit itu antara lainnya akan menjalankan audit forensik ke
atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan selain menilai
semula proses pengawalan berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran
dalaman serta pengawasan Felda ke atas sayap pelaburannya, Felda
Investment Corporation Sdn Bhd.

Laporan sebelum ini menyatakan siasatan firma audit itu turut melibatkan Pejabat Tanah dan Galian
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan
hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak itu yang dianggarkan
bernilai lebih RM200 juta susulan transaksi yang didakwa sebagai
‘meragukan’ pada 2015.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: