January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus



IPOH: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan dua anggota yang dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan di Kampung Rapat di sini bulan lepas  bakal ditukarkan ke jabatan lain.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, arahan pertukaran dari Bukit Aman ke jabatan lain telah diluluskan dan ketiga-tiga mereka akan ditugaskan di bahagian pengurusan.

“Kesemua pegawai dan anggota yang dipercayai terlibat itu tidak akan dibuang kerja melainkan mereka didapati bersalah oleh mahkamah.

“Mereka akan diberikan tugas di bahagian pengurusan yang tidak memerlukan mereka berinteraksi dengan orang awam,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard serta Ketua Polis Daerah Taiping di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Tambah beliau, kertas siasatan berhubung kes tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis Perak juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) tercalar.

“Kesalahan melanggar integriti dan salah guna kuasa seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan menahan serta mendakwa individu yang terlibat.

“Individu-individu yang melakukan kesalahan seumpama ini tidak boleh ada di dalam PDRM,” katanya.

Sementara itu, Hasnan berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militant Daish di negeri itu dan dijangka akan menahan mereka dalam waktu terdekat.

Katanya, Individu yang dikenal pasti itu merupakan kakitangan kerajaan dan isteri kepada ahli kumpulan tersebut yang terlibat sama.

Sebelum ini, Astro AWANI pada 28 Disember lepas melaporkan, empat lelaki termasuk seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun tanpa senjata membabitkan wang tunai RM12,300 di sebuah rumah di Kampung Rapat 27 Disember lalu.

Keempat-empat mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Januari lalu.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: