January 16, 2018
You can use WP menu builder to build menus



SHAH ALAM: Polis menahan pemilik dan pengurus kedai haiwan Imadi Pet Global Sdn Bhd berhubung kes penipuan skim pelaburan kucing di tiga negeri melibatkan kerugian sebanyak RM1.56 juta.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, SAC S. Sasikala Devi berkata, kedua-dua lelaki berumur 55 dan 34 tahun itu berada di premis ketika serbuan dijalankan di Seksyen 14 di sini pagi tadi.

Katanya, penangkapan dibuat hasil laporan polis oleh 35 mangsa terlibat.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki tersebut juga dipercayai individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat mengenai skim pelaburan kucing berkenaan sejak Imadi Pet Global beroperasi tahun lepas.

Jelas Sasikala Devi, modus operandi skim pelaburan berkenaan adalah dengan memperdaya mangsa supaya ‘membeli’ kucing baka import di kedai terbabit untuk dibiakkan dan mereka akan menerima ganjaran lumayan sebanyak 70 peratus daripada hasil jualan anak-anak kucing tersebut.

Siasatan mendapati mangsa diperdaya untuk ‘membeli’ kucing baka import antaranya ‘Maine Coon’, ‘British Shorthair’ atau ‘Pedigree’ pada harga RM7,000 hingga RM30,000 mengikut jenis. Kucing berkenaan akan dibiakkan dengan kucing jenis baka lain di kedai tersebut.

Bagaimanapun, selepas setahun, mangsa yang dijanjikan pulangan itu mendakwa tidak menerima apa-apa ganjaran daripada pelaburan berkenaan. Ini menyebabkan mereka tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata dua lagi cawangan premis tersebut iaitu di Johor Bahru, Johor dan Setapak, Kuala Lumpur turut diserbu serentak hari ini namun premis di ibu negara itu didapati telah ditutup sejak dua bulan lepas.

“Setakat ini, pihak polis telah menerima laporan daripada 35 mangsa di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Berdasarkan laporan polis yang diterima, jumlah kerugian dialami oleh mangsa adalah sebanyak RM1.562 juta,” katanya.

Dalam kedua-dua serbuan hari ini, polis merampas pelbagai dokumen berkaitan termasuk sijil-sijil baka kucing sebagai rujukan kerana setiap kucing yang terlibat dalam skim itu dipakaikan mikrocip yang mengandungi maklumat haiwan tersebut.

Polis percaya masih ramai lagi pemilik kucing diperdaya dalam skim ini dan mereka disaran supaya tampil membantu siasatan.

Kedai haiwan ini difahamkan ada beberapa lagi cawangan namun hanya mangsa dari tiga premis sahaja yang membuat laporan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: